KUANTAN, 1 April (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) merancang untuk membuka tiga lagi pusat usahawan berteraskan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) -- 'Centre of 9 Pillars', menjadikan keseluruhan lima pusat seumpamanya diwujudkan di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Datuk Norhalim Yunus berkata inisiatif itu dilihat sebagai pemacu kerjasama dalam kalangan usahawan tempatan untuk memperkasakan industri pelbagai bidang di setiap wilayah.
“Inisiatif tersebut akan fokus kepada transformasi industri utama di setiap wilayah ke arah pelaksanaan IR4.0. Di pantai bidang yang paling menyerlah sudah semestinya industri minyak dan gas, namun ada beberapa lagi industri lain yang kita (MTDC) boleh bantu bagi mencapai aras IR4.0."
"Misalnya daripada aspek teknologi perusahaan makanan dan juga teknologi hijau yang mana terdapat beberapa syarikat yang menerima dana MTDC di Pahang yang perlu menambah baik pengeluaran produk dan perkhidmatan mereka agar lebih efisien bertunjangkan teknologi IR4.0," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap merasmikan Jelajah 'MTDC Road2Growth 2019' di Kuantan, Pahang hari ini.
Dalam pada itu Norhalim berkata penubuhan 'Centre of 9 Pillars' itu juga merupakan platform untuk usahawan-usahawan kecil menonjolkan potensi produk mereka untuk pasaran eksport.
"Kita kena faham bahawa sesebuah syarikat yang kecil akan menghadapi isu kredibiliti. Di sinilah letaknya peranan MTDC yang bertindak sebagai sokongan kepada mereka dalam meyakinkan pengedar produk serta pelabur di luar negara tentang potensi pasaran produk atau perkhidmatan yang ditawarkan."
"Bagaimanapun syarikat itu perlu membangun malah memantapkan strategi pasaran produk atau perkhidmatan mereka secara sendiri terlebih dahulu, barulah MTDC akan membantu menghubungkan mereka dengan rangkaian perniagaan yang juga penerima dana kami di seluruh dunia."
Program Jelajah 'MTDC Road2Growth' sudah masuk tahun keempat, dengan Kuantan, Pahang sebagai wilayah ke tiga selepas Pulau Pinang dan Johor Bahru bagi edisi 2019.
Lebih 300 peserta yang terdiri daripada usahawan, wakil syarikat, pelajar serta pensyarah universiti dari tiga negeri di Pantai Timur menyertai bengkel jelajah yang dijadualkan selama dua hari mulai hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial