KUANTAN, 1 April (Bernama) -- Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Halimi Abd Manaf mendahului senarai 147 penerima pingat dan darjah kebesaran bersempena Istiadat Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar, Pekan dekat sini, hari ini.
Halimi menerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’ bersama sembilan individu lain iaitu Anggota Parlimen Lipis Datuk Abdul Rahman Mohamad dan Penasihat Media Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional Jabatan Perdana Menteri Datuk Ibrahim Abdul Rahman.
Turut menerima darjah berkenaan ialah Ketua Polis Pahang Datuk Mohd Zakaria Ahmad, Pengarah Eksekutif HSS Engineers Berhad Datuk Ir Ismail Md. Salleh, peguam bela dan peguam cara Datuk Abdul Halim Yahya serta Pengerusi Eastern Executive Sdn Bhd Datuk Maharudin Hassan.
Penerima lain ialah Pengarah Safemine Minerals Sdn Bhd (Malaysia) Datuk Marcus Lee Andrew dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Second Beauty Secret Sdn Bhd Tan Ooi Han
Istiadat pengurniaan pingat disempurnakan oleh Pengerusi Jumaah Pemangku Raja Pahang Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.
Sementara itu, seramai empat individu menerima Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran ‘Datuk Indera’ iaitu Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Nor Akhirrudin Mahmud serta Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia Datuk Mohd Noor Isa.
Dua lagi penerima SIMP ialah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Pahang Datuk Mohamad Ridzwan Mohd Tahar dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang Datuk Ir Abdul Jalil Mohamed.
Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) yang membawa gelaran ‘Datuk’ kepada lima penerima termasuk dua Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang Datuk Abd Aziz Mat Kiram dan Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff.
Tiga lagi ialah Pengarah Yap Teiong Choon Holdings Sdn. Bhd Datin Seri Phan Foo Beam, Pengarah Pendidikan Pahang Tajuddin Mohd Yunus dan Pengarah Urusan Sung Heng Hamper Koh Yee Keng.
Pada istiadat itu, seramai 17 individu menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang juga membawa gelaran ‘Datuk’ antaranya Pengarah NZS Ventures Datin Seri Nurzarina Sepran, Duta Besar Malaysia ke Lubnan Mohd Aznor Mahat dan Ketua Pegawai Pelaburan Pertubuhan Keselamatan Sosial Dr. Suzana Idayu Wati Osman.
Turut dikurniakan darjah yang sama ialah Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Azahari Othman, Ketua Pegawai Operasi Konfederasi Badminton Asia Kenny Goh Chee Keong, Komander Pangkalan Udara Kuantan Brig Jen Wan Amin Hafiz Wan Mahmud dan Komandan Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur SAC Shamsudin Mat.
Pada istiadat itu juga lima individu dikurniakan pingat Setia Ahmad Shah Pahang (SAP), Pingat Setia Mahkota Pahang (SMP)(11), Ahli Ahmad Shah Pahang (AAP) (8), Ahli Mahkota Pahang (AMP) (25), Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) (16), Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) (12) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (35).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial