AM

Pertanian digital guna drone potong buah kelapa sawit

30/03/2019 06:06 PM

Oleh Amiril Muttaqien Meketar

LANGKAWI, 30 Mac (Bernama) -- Jika selama ini drone hanya digunakan untuk mengambil gambar dan rakaman viceo tetapi kini penggunaan drone boleh dimanfaatkan dalam pertanian digital bagi pemotongan buah kelapa sawit.

Sebuah syarikat tempatan telah berjaya mencetuskan idea inovatif yang menyaksikan gadget itu digunakan untuk tujuan pertanian.

Jurutera Penyelidikan Rangkaian Kambyan (Kambyan), Yuvarajoo Subramaniam berkata drone yang dihasilkan oleh syarikat itu direka bentuk untuk mentransformasi dan  memodenkan industri kelapa sawit atau lebih tepat lagi pertanian digital.

Yuvarajoo berkata bahawa syarikatnya mendapati bahawa sebilangan besar penduduk tempatan terutama belia tidak suka bekerja dalam sektor pertanian dan sebab itulah syarikat berkenaan berjaya mengubah fungsi drone dalam usaha untuk menambah nilai dalam sektor berkenaan.

“Kami mendapati bahawa mereka yang bekerja dalam industri minyak sawit menerima gaji yang rendah walaupun melakukan kerja dengan keras walaupun kerja itu berbahaya,” kata beliau kepada Bernama di luar  Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA 19) di sini hari ini.

“Ini  mendorong kami untuk mencetuskan idea bagi memodenkan sektor tersebut kerana kami percaya ini akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan membolehkan pekerja mendapat gaji yang lebih baik,” kata beliau.

Ketika ditanya bagaimana drone itu berfungsi, Yuvarajoo berkata terdapat pelbagai drone mempunyai fungsi masing-masing itiu drone sensor, drone penuaian, drone pemetik dan drone pengangkut yang akan digunakan di kawasan perladangan.

"Drone sensor akan mengumpulkan data mengenai kawasan perladangan, drone penuaian akan memotong buah sawit, drone pemetik akan mengumpulkan data dan drone pengangkut berupaya memindahkan sehingga 250 kg buah sawit ke kilang," tambahnya.

Apa yang lebih menarik, Yuvarajoo berkata para petani dapat menilai proses tersebut melalui aplikasi dikenali “Manusia”, singkatan bagi “Man using intelligence application”, yang dibangunkan oleh syarikat tersebut.

Melalui aplikasi itu, beliau berkata, para petani dapat melihat proses yang dirakamkan oleh drone termasuk melihat rakaman dari atas pokok.

Beliau berkata ini membolehkan mereka untuk menentukan keadaan kesihatan pokok dan sama ada buah sawit telah masak atau sebaliknya,” kata beliau.

Yuvarajoo berkata syarikat tersebut juga telah menjalankan ujian lapangan meliputi drone di Serian, Sarawak dan Kluang, Johor pada Disember tahun lepas yang menghasilkan dapatan yang positif dan menambat hati petani di sdana.

"Kami berharap drone itu akan siap menjelang akhir tahun ini," katanya sambil menambah bahawa syarikat tersebut telah memperuntukkan masa selama setahun untuk melakukan penyelidikan dan pembangunan projek ini.

Mengenai masa depan, Yuvarajoo berkata syarikat itu akan memperluaskan penggunaan drone meliputi sektor lain seperti minyak dan gas, aeroangkasa dan pembuatan.

Sementara itu, demonstrasi selama dua minit proses pemotongan kelapa sawit, yang ditunjukkan dalam khemah tertutup di LIMA'19, menarik perhatian pengunjung.

LIMA'19 yang bermula Selasa lepas di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri dan Resorts World Langkawi (RWL) berakhir hari ini.

Sejumlah 406 syarikat  terdiri daripada 206 syarikat tempatan dan 200 syarikat asing - kebanyakannya berkaitan pertahanan mengambil bahagian dalam LIMA'19.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan