Oleh Noor Aznida Alias
KUALA TERENGGANU, 28 Mac (Bernama) -- Pasar Besar Kedai Payang atau lebih dikenali Pasar Payang yang bakal dibaik pulih bermula Jun ini, terus menjadi tumpuan pelancong bagi merakam kenangan sambil membeli-belah di situ.
Meskipun mereka terpaksa bersesak-sesak di bangunan yang didirikan sejak 1968 itu, namun rata-rata daripadanya menganggap ia adalah kenangan berharga sebelum menikmati pengalaman di bangunan baharu nanti, yang dikatakan lebih selesa.
Bertepatan dengan musim cuti sekolah yang akan berakhir beberapa hari lagi, kehadiran pelancong dilihat agak luar biasa malah kebanyakan mereka berswafoto di bahagian pintu masuk sebagai mengenang 51 tahun penubuhannya.
Tinjauan Bernama turut mendapati jalan masuk ke Pasar Payang sesak sehingga satu kilometer manakala suasana di dalam pasar juga hingar-bingar dengan ratusan pengunjung dan peniaga yang menjalankan aktiviti jual beli.
Seorang pengunjung, Marzita Zakaria, 52, dari Johor Bahru berkata selepas mendengar berita mengenai pembangunan semula Pasar Payang, beliau terus merancang percutian ke Terengganu bersama ahli keluarganya yang lain bagi menikmati pengalaman terakhir di pasar itu.
Katanya, Pasar Payang adalah antara lokasi persinggahan wajib mereka sekeluarga setiap kali berkunjung ke Terengganu bagi mendapatkan bekalan keropok, kain batik serta sutera yang bermutu tinggi.
“Kami memang suka melancong ke Terengganu terutama ke Pasar Payang kerana suasananya yang klasik serta produknya unik dan tidak ada di tempat lain.
“Biarpun agak sedih kerana tak dapat lagi merasai suasana Pasar Payang seperti hari ini, saya sebenarnya bersyukur sebab tak perlu lagi berpanas di tempat sempit kerana difahamkan pasar yang baru itu nanti akan dilengkapi dengan pendingin hawa ,” katanya ketika ditemui Bernama.
Seorang lagi pelancong, Mohd Ashman Mohd Nasir, 40, dari Selangor berkata beliau agak terkejut dengan berita Pasar Payang akan diroboh kerana lokasi tersebut adalah tarikan utama pelancong ke Kuala Terengganu.
Mohd Ashman berkata, ketika belajar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang dahulunya dikenali sebagai kampus Universiti Putra Malaysia (UPM), Pasar Payang adalah tumpuan utamanya untuk mendapatkan bekalan keropok dan batik untuk dijual kepada jiran-jiran serta pelanggannya di kampung.
“Saya ada banyak kenangan manis di Pasar Payang. Selain membeli barangan saya juga lepak-lepak sambil menyaksikan orang ramai menaiki bot di jeti bersebelahan pasar ini.
“Saya berharap wajah baru Pasar Payang masih mengekalkan identiti lama ini kerana jika tidak, sudah tidak ada istimewanya tempat tersebut,” katanya.
Sementara itu, Norasiah Halim, 30, dari Taiping, Perak berkata beliau mengambil kesempatan cuti sekolah untuk membawa ibunya ke situ bagi membeli kain batik, serunding dan keropok.
Beliau berkata, ia mungkin lawatan terakhirnya ke Pasar Payang sebelum ia dirobohkan dan dibina dengan yang baharu.
“Walaupun bangunan lama ini menyimpan banyak nostalgia, saya fikir pembangunan semula itu perlu kerana kalau kita tengok persekitarannya memang kurang selesa terutama untuk kanak-kanak dan orang tua.
“Apabila ramai orang, terpaksa bersesak-sesak kerana laluannya sempit dan menahan pelbagai bau yang tidak menyenangkan disebabkan peluh,” katanya yang tidak sabar untuk membeli-belah di bangunan Pasar Payang yang baharu suatu hari nanti.
Bangunan dua tingkat yang bakal dirobohkan itu, menjual pelbagai barangan di tingkat atas terutama kain batik dan songket asli Terengganu manakala di aras bawah mempunyai gerai menjual barangan basah serta pelbagai rempah-ratus dan barang kemas.
Peniaga yang sama akan mula berpindah secara berperingkat selepas Hari Raya Aidilfitri ke bangunan sementara kira-kira 80 meter dari situ bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan Pasar Payang baharu dapat dilakukan.
-- BERNAMA
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan