IPOH, 24 Mac (Bernama) -- Impian India untuk merakamkan kemenangan kedua berturut-turut tersekat apabila sekadar seri 1-1 menentang Korea Selatan pada perlawanan hari kedua Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Azlan Shah, di sini hari ini.
Perlawanan yang terpaksa dihentikan lebih satu jam disebabkan hujan lebat itu, menyaksikan India berjaya mendahului 1-0 menerusi jaringan Mandeep Singh pada minit ke-28.
Gol tersebut nyata menaikkan semangat pasukan India untuk menggandakan jaringan namun serangan bertali arus ke kubu lawan tetapi gagal membuahkan hasil dek kekebalan penjaga gawang, Kim Jaehyeon.
Berbaki lapan minit sebelum tamat perlawanan, Korea Selatan, yang dibimbing Shin Seok Kyo, mula mendapat rentak dengan membuat beberapa percubaan ke kubu gol lawan dan ketua ketua pasukan, Lee Namyong nyaris menghasilkan jaringan.
Usaha Korea untuk menyamakan kedudukan akhirnya berhasil pada minit ke-60, apabila Jang Jonghyun berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti yang diberikan oleh pengadil dari Jepun, Hideki Kinoshita.
Sementara itu, dalam sati lagi perlawanan, Kanada berjaya merakamkan kemenangan sulung selepas menumpaskan Poland 4-0.
Turun dengan misi menebus kekalahan 3-6 di tangan India, Kanada bijak mengatur strategi sekali gus mengkucar-kacirkan benteng pertahanan Poland dalam setiap babak perlawanan.
Kanada berjaya mendahului Poland pada minit ke-35, menerusi gol padang yang dihasilkan Brenden Bisset.
Gawang gol Poland sekali lagi bocor pada minit ke-47, kali ini giliran Devohn Noronha Teixeira pula mencetak nama selaku penjaring apabila pukulannya dalam kotak penalti berjaya menewaskan penjaga gol Poland, Mateusz Popiolkowski.
Peluang pukulan sudut penalti yang diberikan pengadil perlawanan pada minit ke-55 kepada Kanada tidak disia-siakan oleh Gordon Johnston bagi meletakkan pasukannya di kedudukan selesa 3-0.
Selang lima minit kemudian, Devohn sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada Poland apabila pukulan derasnya gagal ditampan kemas oleh Popiolkowski sekali gus menghasilkan gol keempat buat Kanada.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial