EKONOMI

Co-opbank Pertama sasar beri pinjaman kewangan kepada 3 koperasi setiap bulan

21/03/2019 05:32 PM

KUALA LUMPUR, March 21 (Bernama) -- Co-opbank Pertama Malaysia Bhd (CBP) yang sebelum ini dikenali sebagai Koperasi Co-opbank Persatuan Malaysia Bhd, menyasar memberi bantuan dari segi pinjaman kewangan kepada sekurang-kurangnya tiga koperasi setiap bulan melalui skim pembiayaan sektor koperasi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Nor Abd Razak berkata modal syer CBP setakat Mac tahun ini telah meningkat kepada lebih RM700 juta dan syarikat itu mampu memberikan pinjaman sehingga RM40 juta bagi koperasi, tertakluk kepada jenis produk setiap koperasi tersebut.

“Setakat ini kami sedang berhubung dengan lebih kurang 20 koperasi dan mereka haruslah melalui proses-proses tertentu sebelum diberikan pinjaman. 

“Ini termasuklah “penilaian ke atas penilaian kredit mereka”,” katanya kepada pemberita pada majlis pra-pelancaran skim tersebut, di sini, hari ini.

Menurutnya, skim pembiayaan sektor koperasi itu akan dilancarkan secara rasmi pada 10 April depan oleh Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Datuk Nordin Salleh.

Mohd Nor berkata inisiatif oleh CBP itu juga adalah sejajar dengan sasarannya untuk meningkatkan portfolio pembiayaan bagi sektor koperasi kepada 30 peratus daripada keseluruhan portfolio pembiayaan menjelang 2020.

“Kami sasarkan pada akhir 2020, portfolio pembiayaan CBP akan menjadi 70 peratus pembiayaan peribadi dan 30 peratus pembiayaan koperasi (bebanding 90 peratus:10 peratus sebelum ini).

“Dan kami akan turut bekerjasama dengan SKM di mana SKM akan memberikan nama-nama koperasi untuk diberikan bantuan.

“Ini tidak menjadi masalah kerana CBP mempunyai modal yang cukup untuk membantu mereka,” katanya.

Mohd Nor berkata, CBP berharap dapat membantu meningkatkan kadar pertumbuhan sektor koperasi kepada 10 peratus tahun ini berbanding 4.9 peratus pada tahun lepas.

Sementara itu, katanya, CBP akan membayar dividen pada kadar 9.5 peratus bagi tahun kewangan 2018 berbanding 8.5 peratus pada 2017.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan