AM

Projek kereta ketiga bagi mempelajari teknologi kejuruteraan automotif - Dr Mahathir

17/03/2019 01:13 PM

SEPANG, 17 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah kerajaan untuk melancarkan projek kereta nasional yang ketiga adalah bagi membolehkan rakyat Malaysia mempelajari dan memahami teknologi kejuruteraan automotif.

Beliau berpendapat bahawa Malaysia “tidak tahu apa-apa” dan kurang pengetahuan berhubung dengan industri kejuruteraan automotif.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Festival GT Asia di Sirkit Antarabangsa Sepang hari ini, Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia berpendapat bahawa kereta nasional kita adalah teruk,dan tidak  menyokong rancangan kerajaan untuk melancarkan projek kereta ketiga ini.

“Orang ramai berpendapat kereta kita adalah teruk. Mereka kata jangan beli kereta Malaysia, sebaliknya beli kereta luar. Anda lihat, mereka (rakyat Malaysia) berpendapat mereka sudah tahu segala-galanya  termasuk teknologi yang terlibat di sini. Itulah sebabnya mereka tidak mahu kereta ketiga dan berkata ia membazirkan sahaja wang.

"Mereka tidak tahu apa-apa (mengenai) kejuruteraan automotif. Itu sebabnya kami (kerajaan) merancang untuk memperkenalkan kereta nasional ketiga untuk mempelajari teknologi yang terlibat. Anda lihat bagaimana  China maju dalam tempoh yang singkat kerana mereka menerima untuk terlibat dalam perniagaan automotif,” katanya.

Dr Mahathir, yang juga memuji penyertaan 70 Proton Saga generasi pertama, yang mengambil  bahagian dalam perlumbaan Festival Kelajuan Piala Saga Malaysia, berkata bunyi enjin kereta berkenaan  seperti kereta Formula One semasa berlumba.

Perlumbaan itu bagi memberi penghargaan kepada kereta ilham Dr Mahathir yang dilancarkan  pada  1980-an iaitu Proton Saga.

Terdahulu, seorang pemandu perlumbaan dari Malaysia, Jazeman Jaafar membawa Dr Mahathir  mengelilingi satu pusingan di trek berkenaan dalam kereta elektrik berkuasa tinggi, NiO EP9, yang juga  sebuah kereta elektrik terpantas di dunia.

Ketika ditanya mengenai pengalaman duduk dalam NiO EP9, Dr Mahathir berkata beliau amat  teruja dan degup jantung saya terasa naik hingga 140 denyut seminit.

Malaysia menjadi tuan rumah Festival GT Asia (di luar China) dari 15-17 Mac, yang menyaksikan lebih 30 kereta GT dari seluruh dunia berlumba bagi merebut hadiah wang tunai berjumlah RM5.45 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan