BERITA TERGEMPAR   Thailand's Constitutional Court Tuesday suspended PM Paetongtarn pending deliberation of a leaked phone call case | 
 AM

Pump Track Batu Pahat cipta sejarah

16/03/2019 05:17 PM

BATU PAHAT, 16 Mac (Bernama) -- Pembinaan Litar ‘Pump Track’ Batu Pahat mencipta sejarah tersendiri, terutamanya di kalangan peminat aktiviti sukan basikal lasak apabila litar berkenaan kini merupakan satu-satunya di Malaysia yang dibina dalam lapisan permukaan tar (bitumen) secara keseluruhannya.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Johor Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata tujuan utama pihaknya membina litar berkenaan adalah sebagai tempat latihan awalan bagi pengenalan kepada Sukan Supercross BMX.

Katanya, selain digunakan untuk basikal jenis BMX, ia juga sesuai untuk aktiviti riadah seperti kayuhan santai, latihan dan juga kejohanan untuk basikal jenis Mountain Bike (MTB).

“Di negara ini kita telah mempunyai enam litar Pump Track dan di sini (Batu Pahat) merupakan yang ketujuh, manakala di negeri Johor merupakan yang ketiga setelah dibina di Kompleks Belia dan Sukan, di Larkin, Johor Bahru dan di Kluang.

“Litar Pump Track Batu Pahat ini yang dibina dalam konsep beralun terdiri daripada ‘roller, table top, step up, berm dan double yang berfungsi sebagai ‘obstacles’ agar mendapat momentum yang baik kepada tungggangan basikal.

“Malah keistimewaan litar ini berbanding dengan enam litar yang dibina sebelum ini ialah ia dibina dengan tiga lapisan iaitu tanah (dirt), habuk batu (quarry dust) dan tar atau bitumen (asphalt),” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata sedemikian semasa Majlis Pengenalan Pump Track Batu Pahat yang turut dihadiri oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Kamalludin Jamal dan Wakil Rasmi Pegawai Daerah Batu Pahat, Ahmad Narzi Rebu.

Jelas beliau lagi, inspirasi untuk pembinaan litar pump track ini terhasil daripada kejayaan anak jati Batu Pahat, Zafrin Shah Sabikin yang berjaya menempatkan diri di peringkat akhir World Extreme Games di Barcelona, beberapa tahun lalu dan mendapat tempat kelapan secara keseluruhan.

Katanya, litar yang dibina di Taman Linear Bandar ini bernilai RM234,860 dan sepanjang 245 meter dengan dibahagikan kepada beberapa seksyen iaitu Main Loops, Medium Loops, Small Loops dan Rhythm Section.

“Dijangkakan beberapa kejohanan peringkat kebangsaan dan antarabangsa juga akan dilaksanakan di litar ini, dan pada April 2019 nanti litar ini akan menganjurkan satu kejohanan di peringkat kebangsaan,” kata Mohd Khuzzan.

Beliau berkata kerajaan negeri juga berhasrat untuk menjadikan litar ini sebagai salah satu lokasi wajib dikunjungi sekiranya pelancong dalam dan luar negara datang ke daerah ini, sekaligus akan dimasukkan dalam kalender pelancongan daerah dan negeri, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan