IPOH, 7 Mac (Bernama) -- Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menanam semula pokok sebagai langkah memulihara kawasan sekitar penerokaan tanah haram berhampiran Bukit Kledang, di sini.
Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata kira-kira 10,000 batang pokok perlu ditanam semula di kawasan seluas 10 hektar yang telah diteroka secara haram melibatkan tanah hak milik kerajaan negeri dan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) berkenaan.
"Kami (NGO) bersedia menyumbangkan tenaga secara sukarela untuk menanam semula pokok di sini berbanding kerajaan negeri terpaksa melantik syarikat swasta untuk melakukan penanaman pokok yang sudah tentu akan melibatkan kos yang sangat tinggi.
"Selain itu, kita berusaha untuk menghijaukan kembali kawasan ini, aktiviti penanaman semula pokok dapat mengeratkan hubungan antara pemimpin negeri dengan masyarakat setempat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan bersama-sama Persatuan Pelindung Khazanah Alam Sekitar (PEKA) dan Persatuan Aktivis Sahabat Alam Malaysia (KUASA) di sekitar kawasan berkenaan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Meor Razak berkata antara pokok yang sesuai ditanam semula ialah pokok jenis meranti dan keruing kerana pokok-pokok tersebut mampu menghijaukan semula kawasan sekitar yang terjejas.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya berharap kerajaan negeri dapat mewartakan kawasan yang terjejas dengan aktiviti penerokaan tanah haram sebagai kawasan Hutan Simpan Kledang Saiong walaupun ia merupakan tanah milik kerajaan negeri dan MB Inc.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin dalam kenyataannya berkata kerja-kerja membaiki struktur tanah di kawasan yang telah diterokai secara haram tersebut merangkumi pembinaan saliran longkang dan penanaman semula pokok bagi mengelakkan daripada berlakunya hakisan cerun.
Katanya pihak Jabatan Tanah dan Galian Perak telah mengarahkan peneroka haram yang terlibat untuk membaiki semula struktur tanah bagi mengelakkan sebarang hakisan cerun di kawasan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial