JOHOR BAHRU, 1 Mac (Bernama) -- Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan menerima Sijil Kelayakan Pemandu Kanan Lokomotif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Menerusi catatan dalam laman Facebook baginda, sijil itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KTMB Mohd Rani Hisham Shamsudin kepada baginda dalam satu majlis di Stesen Keretapi Kuala Lumpur.
Pada majlis itu, Sultan Ibrahim turut berkenan menerima sijil penghargaan kerana telah mencemar duli memandu tren terakhir Lokomotif Kelas 26 (26108 TG. KUPANG) keluar dari Stesen Tanjong Pagar, Singapura ke Stesen Johor Bahru pada 1 Julai 2011.
Selain itu, baginda berkenan memandu tren khas bagi perjalanan Kuala Lumpur ke Johor Bahru.
Baginda memandu tren khas itu dari tempat ia berlepas iaitu Stesen Keretapi Kuala Lumpur pada 9 pagi sebelum berhenti di Stesen Keretapi Segamat.
Sepanjang perjalanan, Sultan Johor diiringi dua pemandu lokomotif KTMB, Kamal Asmawi dan Supawi Ismail.
Dalam tempoh itu, baginda sempat meninjau keadaan kebersihan dan kemudahan pengangkutan rel demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat.
Sultan Johor memiliki lesen memandu kereta api sejak 2010.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial