SHAH ALAM, 28 Feb (Bernama) -- Prosiding inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang sepatutnya bersambung hari ini ditangguhkan pagi esok berikutan peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta keluarga mangsa tidak dapat hadir.
Peguam Kamaruzaman Abdul Wahab yang juga mewakili keluarga mangsa memaklumkan perkara itu semasa prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.
"Peguam (Syazlin Mansor) tidak dapat hadir pagi ini sebab mengalami migrain (sakit kepala) teruk. Jadi, mohon (prosiding inkues) hari ini ditangguhkan ke esok...pohon hari ini dilapangkan," katanya pada prosiding inkues, di sini.
Rofiah kemudian membenarkan penangguhan itu dan memaklumkan inkues akan disambung semula 10.30 pagi, esok.
“Memandangkan alasan tidak dapat dielakkan, disebabkan Puan Syazlin seorang sahaja mewakili kementerian (KPKT), saya menerima permohonan itu dan inkues akan disambung esok," katanya.
Setakat ini, seramai 18 saksi dipanggil memberi keterangan pada prosiding yang bermula 11 Feb lepas.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lepas.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial