TAWAU, 27 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan dicekup polis, malam tadi selepas cuba menipu berkaitan penyediaan kad matrik untuk rakyat asing di Sabah dan kononnya pemilik kad itu 'kebal' daripada undang-undang Malaysia.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata suspek berusia 43 tahun yang sudah sebulan menjalankan kegiatan itu ditahan dikediamannya di Kampung Sentosa, Jalan Utara di sini, pukul11 malam.
"Suspek didapati menjalankan pengurusan membuat kad matrik Union Malaya Borneo Corporation (UMBCO) bagi warga asing dan individu yang tiada pengenalan diri di Sabah.
"Kad itu didakwa mempunyai fungsi sama seperti kad pengenalan dan passport, dan istimewa kononnya pemilik kad matrik itu tidak akan ditangkap polis, Jabatan Pendaftaran Negara, serta Jabatan Imigresen Malaysia walaupun tiada pengenalan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini,
Fadil berkata, siasatan awal juga mendapati suspek mengenakan caj RM50 kepada pemohon bagi urusan menyediakan kad itu dalam tempoh tiga hari.
"Pemohon hanya perlu memberikan nama serta apa juga bentuk pengenalan diri kepada suspek sebelum kad diproses di mana-mana kedai alat tulis di Tawau," katanya.
Siasatan lanjut juga mendapati suspek menjalankan kegiatan itu sendirian dan tidak mempunyai syarikat yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta Majlis Perbandaran Tawau (MPT) atau kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa untuk menjalankan kegiatan itu.
Fadil berkata, suspek turut ditahan bersama barang bukti termasuk wang tunai RM606 serta tiga fail permohonan lengkap beserta gambar selain telefon bimbit.
Menurutnya, suspek akan ditahan reman hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut bagi kesalahan cubaan menipu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial