AM

Imigresen tahan 15 wanita asing, terbabit pelacuran melalui WeChat

22/02/2019 02:29 PM

PUTRAJAYA, 22 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen menahan 15 wanita warga asing yang dipercayai terbabit dalam aktiviti pelacuran melalui aplikasi WeChat selepas menggempur sebuah premis di Puchong, Selangor, malam semalam.

Selain 10 wanita Vietnam dan lima warga Indonesia, serbuan yang bermula 7 malam tersebut turut menyaksikan dua lelaki Myanmar serta seorang warga tempatan ditahan, dipercayai menjadi penjaga dan penyelia premis itu.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata wanita berkenaan disediakan tempat tinggal di premis tersebut di mana bilik yang digunakan untuk perkhidmatan seks dilengkapi bilik mandi sendiri.

Premis dua tingkat itu dilengkapi kamera litar tertutup  selain pintu bermagnet yang boleh dikawal melalui alat kawalan jauh dan bagi mengaburi pihak berkuasa daripada mengesan laluan di antara tingkat satu dan dua, pintu ke tingkat dua premis dilindungi dengan cermin, katanya.

"Setelah pasukan serbuan memasuki tingkat dua, penjaga premis  mematikan bekalan elektrik dan lampu di tingkat itu sebagai amaran kepada wanita warganegara asing yang berada di dalam bilik bersama pelanggan," katanya.

Khairul Dzaimee berkata premis yang menawarkan perkhidmatan seks pada harga bermula RM178 bagi tempoh 45 minit itu kerap dikunjungi pelanggan asing antaranya warga Belgium, Iran, Jepun dan Korea.

Beliau berkata premis itu turut mempunyai tonto yang selalu berada di luar bangunan bagi mengawasi pergerakan pihak berkuasa dan akan memberi maklumat jika wujud pergerakan pasukan serbuan dan operasi.

"Aktiviti pelacuran itu giat dijalankan walaupun telah beberapa kali diserbu pihak berkuasa, dan warga asing yang terlibat mampu mengumpul wang yang banyak tanpa ada rasa takut kepada pihak berkuasa dan undang-undang," katanya.

Khairul Dzaimee berkata seramai 11 pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan turut diberi notis untuk hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata antara kesalahan yang dikenal pasti ialah menyalahgunakan pas atau permit, tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen. 

Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya dan kes disiasat mengikut  Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, serta Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan