FOKUS BERNAMA

Damainya Kehidupan Orang Asli Di Pos Sinderut

22/02/2019 12:51 PM

Oleh Kurniawati Kamarudin

 

KUALA LIPIS (Bernama) -- Tatkala menyertai lawatan ke Pos Kuala Mu, Sungai Siput, Perak baru-baru ini, Senator Orang Asli Datuk Isa Ab Hamid berkongsi kecantikan satu lagi perkampungan orang asli untuk penulis kunjungi.

Benarlah apa yang dikatakan senator itu! Kunjungan singkat ke Pos Sinderut, Kuala Lipis, Pahang pada pertengahan bulan Feb lalu begitu mengusik jiwa, lantaran keindahan alam semulajadi perkampungan Orang Asli Semai itu.

 Pemandangan menghijau yang terhampar di hadapan mata seolah-olah membuatkan diri terasa berada di kawasan tanah tinggi. Sungai yang mengalir cukup jernih dengan tanah yang dipenuhi rumput dan ditumbuhi pokok-pokok.

Penulis kemudian mendapat tahu banyak lubuk ikan di sungai yang jernih itu termasuk ikan kelah yang amat diketahui sifatnya yang akan hanya membiak di air sungai yang bersih daripada sebarang pencemaran.

“Itu Kampung Lubuk Muman,” kata seorang pemuda Orang Asli yang melewati tempat penulis berdiri sambil jarinya menuding ke arah kawasan hijau yang penulis perhatikan sebelum ini.

Lubuk Muman adalah antara 13 buah kampung yang terdapat di Pos Sinderut. Kampung-kampung lain termasuk Saweh, Tidol, Bukit Long, Kuala Sinderut, Tual, Janggap, Rangan, Tigol dan Cherung.

 

PERJALANAN MENCABAR

Lazimnya jarak 35 kilometer jika melalui jalan raya bertar yang diselenggara dengan baik hanya memakan masa lebih kurang 20 hingga 30 minit. Perjalanan untuk sampai ke perkampungan Orang Asli di Pos Sinderut dengan jarak yang sama terpaksa mengambil lebih sejam iaitu simpang masuk jalan utama Raub-Sungai Koyan. Keadaan ini disebabkan jalan raya yang rosak dan berlubang.

Kesukaran ini bagaimanapun “alah bisa tegal biasa “ bagi hampir 5000 penduduk daripada 13 buah kampung di Pos Sinderut untuk keluar ke pekan berhampiran  di Raub dan Kuala Lipis ataupun ke  pekan kecil di Sungai Koyan.

Rasa lelah “terubat” sebaik sampai di Kampung Lubuk Muman. Siapa sangka disebalik hutan belantara, tersembunyi tempat yang cukup indah dan mendamaikan.

Suasana kampung yang menghijau dikelilingi pokok buah-buahan tempatan seperti durian dan rambutan  dengan sungai yang mengalir jernih dihadapannya tidak ubah seperti sebuah lukisan hidup. Amat berbaloi rasanya perjalanan  lebih  tiga jam dari Kuala Lumpur.

 

 REZEKI HASIL KEBUN

Pos Sinderut yang  terletak bawah Parlimen Cameron Highlands baharu sahaja mendapat Ahli Parlimen baharu, Ramli Md Nor pada 26 Januari lepas dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands.

Semasa kempen baru-baru ini, Pos Sinderut antara kawasan tumpuan pemimpin-pemimpin parti politik yang bertanding untuk bertemu masyarakat Orang Asli di sini. 

“Memang meriah semasa kempen baru-baru ini sebab ramai yang keluar masuk ke kawasan kami dan melihat sendiri keadaan di kampung kami ini.

“Tapi beginilah kehidupan kami di sini yang hidup sederhana bergantung kepada hasil hutan dan kebun yang diusahakan,” kata Tok Batin Kampung Lubuk Muman, Mansor Abdullah,61, ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Kebetulan ketika penulis datang ke Pos Sinderut pada cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini tengah musim durian.  Daripada kanak-kanak hingga ke orang dewasa bergilir-gilir menanti durian gugur di kebun masing-masing pada setiap malam.

Di sana sini, boleh dilihat penduduk sekitar kampung Pos Sinderut membawa buah durian yang gugur ke tempat pengumpulan.

Peraih durian dari  Raub, Kuala Lipis dan Kuala Lumpur biasanya akan masuk ke kampung menaiki kenderaan pacuan empat roda setiap pagi atau petang untuk mengambil buah durian yang sudah dikumpulkan.

Semuanya jenis durian kampung ada dan dijual pada harga antara RM4 ke RM5 sekilo mengikut saiz.

“Pada musim durian inilah orang kampung dapat rezeki lebih sedikit. Selain durian, ada juga peraih yang datang untuk mengambil petai.

“Jika tidak musim buah macam ini, kami bergantung kepada hasil getah, koko, pisang atau apa-apa sahaja hasil tanaman  untuk dijual,” tambah  Batin Mansor.

 

14 KELUARGA DALAM SATU KAMPUNG

Terdapat 14 keluarga mendiami Kampung Lubuk Muman dan yang menariknya semua adalah daripada keluarga Tok Batin Mansor termasuk  27 orang anaknya.

Beliau yang mula dilantik sebagai Tok Batin pada tahun 2012, berkahwin dengan isteri pertama pada tahun 1975 dan isteri kedua lima tahun berikutnya.

Apabila ditanya setiap nama anaknya, Tok Batin Mansor hanya mampu mengingati  nama anak pertama hingga ke lima daripada Isteri pertamanya, Hindun dan isteri kedua,  Rogayah.

“Mana nak ingat, ramai sangat… , cucu pun ramai, “ katanya sambil berseloroh.

Menurut beliau, Kampung Lubuk Muman dibuka mentuanya iaitu ibu bapa Hindun dan beliau terus menetap di sini selepas mendirikan rumahtangga.

Tok Batin Mansor turut bekerja sebagai kakitangan am di Sekolah Kebangsaan Sinderut, kira-kira dua kilometer dari kampung  sementara anak-anaknya mengusahakan kebun sendiri di kawasan bukit belakang kampung.

Salah seorang anak lelakinya, Husin Mansor, 32, meneroka hutan di belakang kampung dengan membuka kebun getah dan buah-buahan.

Kawasan kebun yang berbukit memerlukan Husin memerah tenaga setiap hari mendaki melihat hasil tanamannya seperti pisang, lada, buah pinang  mahupun durian serta petai.

“Bila harga getah turun sekarang, saya  berhenti menoreh. Nasib baik sekarang musim  durian dapatlah hasil sedikit, Bila habis musim durian, saya jual lada dan pisang atau buah pinang,” katanya.

 

CHALET BANTU EKONOMI

Sementara itu, menantu Batin Mansor, Ismail Bin Din, 36, merebut peluang dengan membuka chalet di tepi sungai Kampung Lubuk Muman.

Dua buah chalet berjaya disiapkan pada awal Januari baru-baru ini bagi menambah dua buah chalet yang dibina pada 2017. Kadar sewa chalet antara RM60 hingga RM80.

Menurut Ismail, sebelum ini orang yang datang ke Pos Sinderut akan singgah ke Lubuk Muman kerana terpesona dengan keindahan suasana kampung dan sungai yang terdapat di sini.

“Kebanyakan pengunjung yang datang sebelum ini tidur di surau kampung ini atau berkhemah di tepi sungai. Saya nampak ada peluang perniagaan jadi saya bina dua buah chalet dan menambah dua buah lagi pada tahun ini,” katanya.

Chalet yang  diperbuat daripada bahan hutan seperti rotan dan buluh mendapat sambutan yang menggalakkan serta menjadi tarikan pengunjung untuk singgah dan menginap di sini walaupun kemudahan yang disediakan masih belum lengkap dan sempurna.

Bekalan elektrik  yang belum dinikmati penduduk di Pos Sinderut memberi sedikit kekangan  kepada Ismail untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengunjung yang datang.

“Kami bergantung kepada generator untuk hidupkan lampu. Kosnya agak tinggi setiap bulan. Kalau enjin generator ada masalah, kadang-kadang terpaksa bergelap sepanjang malam. 

“Bagi orang kampung di sini  sudah biasa tetapi orang luar yang tinggal dibandar yang sudah biasa guna lampu mungkin tidak selesa dengan keadaan ini,” katanya.

 

ISU PONTENG SEKOLAH

Sementara itu, bagi kanak-kanak Orang Asli sini, sungai merupakan “taman permainan” mereka . Di situlah mereka akan menghabiskan masa sebaik habis sesi persekolahan hingga membawa ke senja.

Pada waktu malam pula, kumpulan remaja dan dewasa  pula akan turun ke sungai untuk aktiviti menjaring atau menembak ikan yang boleh menjadi hidangan untuk keluarga.

Sungai memainkan peranan cukup besar kepada masyarakat di sini dan tidak hairanlah ramai anak-anak Orang Asli di sini yang tidak datang ke sekolah kerana leka bermain di sungai atau ke kebun.

Setiap kali sesi persekolahan baharu dibuka atau selepas cuti panjang, guru di SK Sinderut mula diasak kebimbangan berkaitan jumlah kehadiran pelajar.

Sekolah yang dibuka pada awalnya oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA)  pada tahun 1995.

Menurut Guru Besar,  Abdul Manaf Mat, isu kehadiran pelajar ke sekolah antara yang paling kerap dibangkitkan bersama ibu bapa pelajar.

Beliau yang mula mengajar di sekolah berkenaan sejak 2013 berkata sekolah itu pernah mencapai jumlah murid seramai 602 orang namun menurun kepada 426 orang sekarang.

Antara punca utama penurunan pelajar disebabkan faktor jalan.

Katanya, sebelum jalan raya bertar siap sepenuhnya pada Disember 2016,  jalan masuk ke Pos Sinderut menggunakan jalan tanah merah yang hanya boleh dilalui kenderaan 4X4 sahaja.

"Ketika itu, dari Sungai Koyan ke Pos Sinderut memakan masa 4 jam dalam cuaca biasa dan boleh memakan masa hingga 9 jam pada musim hujan. Ini menyukarkan anak-anak untuk ke sekolah.

"Tetapi sekarang apabila jalan bertar sudah disediakan ada di kalangan mereka masih tidak berminat untuk ke sekolah walaupun sudah diadakan pelbagai penambahbaikan kemudahan," katanya.

Kesedaran ibu bapa dalam pendidikan anak-anak juga masih masih rendah menyebabkan ramai ibu bapa kurang mengambil berat kehadiran anak-anak ke sekolah.

Bagi menggalakkan murid datang penuh ke sekolah setiap bulan,  pihak sekolah menyediakan hadiah dan pemberian wang sagu hati kepada murid terpilih bagi memberi motivasi kepada mereka. 

"Saya hendak lihat peratusan kehadiran pelajar tahun ini mencecah 90 peratus. Guru perlu memainkan peranan penting sebagai contoh yang boleh diteladani murid dan masyarakat," katanya.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA  


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan