PADANG BESAR 15 Feb (Bernama) -- Keadaan cuaca yang kering tanpa hujan dalam musim kemarau di Perlis sejak dua bulan lalu memberi kelegaan kepada penanam mempelam harumanis di negeri ini kerana ia menyelamatkan bunga di pokok mempelam mereka.
Menurut Che Jan Che Seman, 68 yang merupakan seorang penanam mempelam harum manis, keadaan cuaca itu memberi rahmat kerana ia menyelamatkan pokok mempelam yang sedang berbunga.
”Kalau hujan semasa pokok mempelam sedang berbunga, ia boleh menyebabkan bunga-bunga itu gugur ke bumi akibat ditimpa air hujan. Cuaca panas dan kering seperti sekarang amat melegakan kerana bunga-bunga mempelam yang kekal di pokok memberi keyakinan ia bakal mengeluarkan buah yang banyak,” katanya kepada Bernama hari ini.
Pesara kerajaan yang menetap Taman Guru Jaya, Kangar itu memberitahu beliau berulang alik-alik dari rumah ke kebun mempelamnya sejauh 30 kilometer pergi balik setiap hari semata-mata untuk menyiram pokok-pokok mempelam menggunakan air yang dipam dari dua buah perigi dalam kebunnya.
"Biar susah sedikit untuk menyiram pokok mempelam dalam musim kemarau sekarang daripada siraman air hujan yang boleh menggugurkan bunga mempelam,” katanya gembira.
Che Jan yang mengusahakan kebun seluas 2.5 hektar di Kampung Padang Asam, Bukit Keteri, Chuping dekat sini, sejak lapan tahun lalu, adalah antara ratusan penanam mempelam harumanis komersial di Perlis dan mempunyai lebih 200 pokok buah berkenaan.
Dalam tempoh itu sudah lima kali pokok mempelamnya berbuah dengan purata kutipan buah kira-kira 2.5 hingga 3 metrik tan setahun yang dijual dengan harga dikebun RM23 sekilogram kepada pembeli-pembeli dari dalam dan luar Perlis.
Menurut Che Jan, sejak tiga tahun lepas ada pelanggan tetapnya dari Kuala Lumpur menaiki tiga helikopter turun di kebun mempelamnya semata-mata untuk makan dan membeli mempelam harumanis.
Inilah yang menaikkan semangat pesara tersebut untuk turun ke kebunnya dua kali sehari. Kerja-kerjanya di kebun dilakukannya seorang diri kecuali jika isterinya, Ustazah Maizura Shamsuddin, 48, yang bertugas di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bercuti.
“Malah pada musim mempelam masak, isteri saya juga turut membantu memasarkan buah-buah itu kepada rakan-rakannya di Kuala Lumpur,” kata Che Jan.
Tahun ini, Che Jan menjangkakan buah mempelam di kebunnya dapat dipetik dan dijual sekitar April atau Mei dengan sasaran kutipan hasil kira-kira 3 metrik tan berbanding 2.5 metrik tan tahun lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial