LUMUT, 13 Feb (Bernama) -- Tiga maut manakala seorang cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Batu 11 Segari kira-kira 30 kilometer dari sini, malam tadi.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Mohamad Sururi Ismail berkata kemalangan pada kira-kira pukul 11.30 malam itu membabitkan kereta jenis Proton Iswara dan Proton Persona yang saling bertembung antara satu sama lain di lokasi.
Katanya mangsa yang maut dikenali sebagai Nadya Osman, 36, serta rakannya, Sharifudin Shahidan, 34, yang menaiki kereta jenis Proton Iswara, manakala seorang lagi lelaki berumur 30-an tidak mempunyai dokumen pengenalan diri menaiki kereta jenis Proton Persona.
Mohamad Sururi berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 11.32 malam sebelum tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
“Ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Proton Iswara yang dinaiki dua individu dari arah Taiping menghala ke Seri Manjung manakala Proton Persona dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd Sururi berkata seorang lagi yang parah Henson Elizabeth, 31, yang menaiki Proton Persona dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira pukul 1.15 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung ACP Muhammad Hanif Othman mengesahkan bahawa Henson cedera parah dalam kemalangan itu, manakala seorang lagi lelaki yang meninggal dunia adalah warga Indonesia.
Menjelas lanjut, Muhammad Hanif berkata siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta jenis Proton Persona yang dipandu Sharifudin bersama Nadya dalam perjalanan dari arah Taiping menghala ke Seri Manjung.
"Kereta jenis Proton Iswara yang dipandu Henson dan dinaiki warga asing tersebut pula dari arah Segari menghala ke Pantai Remis.
“Apabila sampai di tempat kejadian, Henson dipercayai gagal mengawal kenderaan dipandu sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar Proton Persona di laluan tersebut," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Muhammad Hanif berkata Henson yang berasal dari Lundu, Sarawak kini dirawat di Hospital Seri Manjung selepas parah selain patah kaki kanan.
Katanya mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Unit Forensik hospital yang sama untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial