AM

850 pelajar SMK Pekan II Kota Belud terima bantuan khas

08/02/2019 02:56 PM

KOTA BELUD, 8 Feb (Bernama) -- Seramai 850 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan II Kota Belud menerima Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 setiap seorang membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM85,000.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick berkata bantuan itu diberikan kepada pelajar sekolah dalam kalangan isi rumah berpendapatan bawah RM3,000.

“Pemberian bantuan ini adalah untuk meringankan beban perbelanjaan pada awal tahun yang perlu ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga.

“Walaupun nilai RM100 ini dilihat kecil namun ia amat besar bagi kita yang pernah merasakan kesusahan hidup. Oleh itu saya berharap bantuan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh ibu bapa untuk membeli dan menyediakan semua keperluan persekolahan untuk anak-anak mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Majlis Penyerahan Bantuan Khas Awal Persekolahan 2019, di SMK Pekan II, Kota Belud, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, pemberian bantuan itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan golongan berpendapatan rendah.

Beliau turut menasihatkan para pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh agar menjadi graduan yang berkualiti dan kembali berkhidmat untuk masyarakat pada masa akan datang.

“Bagaimanapun kecemerlangan akademik harus diseimbangkan dengan kecemerlangan sahsiah diri,” katanya.

Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan sumbangan touchpoints menteri sebanyak RM10,000 untuk keperluan sekolah itu termasuk membiayai program-program kecemerlangan sukan sekolah berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan