KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) -- Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan Tabung Kecemasan Kanak-kanak Antarabangsa Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) hari ini memeterai kerjasama untuk memanfaatkan kira-kira 130,000 anggota Pandu Puteri mengumpul pandangan tentang hak kanak-kanak di Malaysia menerusi media sosial.
Wakil UNICEF di Malaysia Marianne Clark-Hattingh berkata matlamat perkongsian itu ialah untuk membimbing anggota persatuan tersebut menjadi pejuang hak kanak-kanak.
“Kami percaya kanak-kanak, khususnya kanak-kanak perempuan, mempunyai kuasa untuk melakukan apa sahaja dan paling penting, mengubah masa depan mereka, untuk diri sendiri dan juga orang lain, seterusnya membentuk dan membina Malaysia yang lebih selamat, dengan setiap kanak-kanak berasa dilindungi,” katanya pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di antara Persatuan Pandu Puteri Malaysia dan UNICEF, di sini hari ini.
Pada pemeteraian itu Pandu Puteri diwakili Timbalan Yang Dipertua persatuan Raja Puan Muda Perak Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Ketua Pesuruhjayanya Datuk Jeyadhevi Subramaniam manakala UNICEF oleh Clark-Hattingh serta disaksikan oleh lebih 100 anggota Pandu Puteri dari seluruh negara.
Clark-Hattingh berkata UNICEF akan mempermudah anggota Pandu Puteri mengakses U-Report yang merupakan platform dalam talian bagi mengumpul pandangan golongan muda menerusi khidmat pesanan ringkas dan lain-lain saluran media sosial mengenai isu yang melibatkan kanak-kanak dan golongan muda di negara ini.
“Dengan menyertai U-Repot, anggota Pandu Puteri dapat meningkatkan pengetahuan mereka berhubung pelbagai isu bersabit hak kanak-kanak termasuk pendidikan, perlindungan dan kesihatan sambil pada masa sama berpeluang bertukar-tukar pandangan dengan yang lain dalam platform itu,” katanya.
Sementara itu, Tunku Soraya berharap perkongsian akan mewujudkan platform yang membolehkan kanak-kanak, gadis dan wanita muda membina potensi diri dan menjadi ejen perubahan, sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
“Setiap kanak-kanak harus diberikan peluang untuk mendapatkan pendidikan, menikmati kesihatan optimum, berhubung dengan rakan sebaya dan dalam proses itu menjadi lebih matang serta tahu apa yang mereka mahukan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial