BATU PAHAT, 16 Jan (Bernama) -- Pejabat Perhutanan Johor Tengah akan terus mempopularkan kawasan Taman Eko Rimba di bawah seliaannya melalui beberapa aktiviti riadah bagi melahirkan masyarakat sihat dan mencintai alam sekitar.
Penolong Pegawai Hutan Daerah Johor Tengah/Kluang, Zaiton Abdullah berkata antara aktiviti riadah yang boleh dilakukan di taman eko rimba berkenaan ialah mendaki, berkhemah, jejak hutan, memerhati burung dan bermalam.
Beliau berkata antara taman eko rimba yang dipromosi tahun ini adalah Taman Eko Rimba Gunung Belumut, di Kluang, dan Taman Eko Rimba Soga Perdana, di Batu Pahat yang terkenal dengan aktiviti mendaki.
"Untuk tahun ini, kita akan terus berusaha mempopularkan Taman Eko Rimba Soga Perdana kepada pengunjung luar dengan mengadakan pelbagai program secara bersama dengan beberapa agensi berkaitan.
"Hari ini dengan kerjasama daripada Pejabat Daerah Batu Pahat, kita telah mengadakan aktiviti mendaki yang disertai oleh pegawai dan staf agensi kerajaan sebagai permulaan dengan masing-masing perlu mendaki Gunung Soga dengan ketinggian 820 meter,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pendakian Hutan Lipur Soga Perdana, yang diketuai Pegawai Daerah Batu Pahat, Zulkiflee Abbas dan Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Supt Razali Mohd Tahir.
Zaiton berkata di Taman Eko Rimba Soga Perdana yang merupakan hutan dipterokarpa bukit, ia mempunyai kepelbagaian flora dan fauna selain mempunyai menara pandang yang berfungsi mempelihat panorama hutan serta bandar Batu Pahat.
Katanya, di Taman Eko Rimba Gunung Belumut yang terletak di Hutan Simpan Kluang pula, ia popular dengan spesies Orkid Selipar selain aktiviti mendaki puncaknya setinggi 1,010 meter.
"Dalam masa sama, bagi kedua-dua taman eko rimba ini, kita turut merancang untuk mengadakan aktiviti berbentuk pendidikan yang akan mendidik masyarakat menyayangi alam semulajadi,” katanya.
Sementara itu, Zulkiflee pula berkata pihaknya merancang beberapa program di Taman Eko Rimba Soga Perdana selain akan dimasukkan dalam kalendar pelancongan tahunan daerah.
"Kita akan mengadakan pelbagai aktiviti untuk menarik orang ramai datang ke sini (Taman Eko Rimba Soga Perdana) kerana ia mampu menjadi tarikan bagi mereka yang berkunjung ke daerah ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial