AM

Paparan watak adiwira warnai koleksi setem keluaran Pos Malaysia 2019

09/01/2019 03:31 PM

Oleh Shanika Abdul Latib

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Peminat watak adiwira daripada komik dan filem terkenal di Malaysia kini boleh menambah koleksi mereka menerusi setem khas yang bakal dikeluarkan Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) sepanjang 2019 ini. 

Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia Diyana Lean Abdullah berkata antara koleksi setem yang bakal dikeluarkan ialah daripada siri komik Marvel, Batman dan Star Wars. 

"Koleksi setem istimewa ini dijangka berada di pasaran pada April memandangkan masih ada beberapa perbincangan sedang dilakukan, terutama pemilihan karakter daripada siri Marvel yang akan dipaparkan pada setem," katanya kepada Bernama di sini hari ini. 

Diyana Lean berkata, pemilihan watak berkenaan itu adalah lanjutan kejayaan penjualan kesemua 5,000 set folder khas Disney bersempena ulang tahun ke-90 Mickey Mouse pada 9 Nov lalu dalam tempoh seminggu. 

"Bagi keluaran siri Marvel, kita rancang akan mengeluarkan sekurang-kurangnya tiga siri dengan memaparkan karakter terbaik memandangkan siri Marvel mempunyai begitu banyak figura adiwira yang di minati ramai seperti Iron Man, Captain America, Spiderman, Hulk serta X-Men,” katanya. 

Beliau berkata Pos Malaysia juga  akan mengeluarkan koleksi Mickey Mouse 2.0 pada tahun ini.

Diyana Lean berkata beliau yakin pengeluaran setem paparan adiwira daripada komik itu akan menarik lebih ramai golongan muda untuk mengumpul setem. 

Sementara itu, Diyana Lean berkata  Pos Malaysia berjaya menjual 80 hingga 90 peratus setem keluaran khas sepanjang 2018. 

"Tahun lalu, kita dapat mengeluarkan sehingga 20 keluaran khas termasuk paparan (Perdana menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad), pertabalan Sultan Kedah dan ulang tahun Mickey Mouse. Secara purata, sebanyak 600,000 keping setem berjaya dijual manakala lembaran mini terjual sehingga 25,000 keping bagi setiap keluaran. 

"Ini petanda positif memandangkan terdapat beberapa keluaran setem adalah cetakan terkawal iaitu  jumlah cetakan setem bergantung kepada jenis paparan. Lebih menarik, ada keluaran yang habis dijual dalam tempoh seminggu kerana paparan yang dikeluarkan sangat unik dan terhad," katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan