SEREMBAN, 4 Jan (Bernama) -- Isu bunyi loceng dan gendang terlalu kuat dari sebuah kuil di Taman Bandar Senawang di sini sehingga menimbulkan ketidakselesaan penduduk setempat akhirnya menemui jalan penyelesaian dengan pembinaan tembok kalis bunyi di kawasan kuil tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri Mohamad Taufek Abd Ghani berkata masalah yang dihadapi penduduk sejak empat tahun lepas itu menemui jalan penyelesaian selepas satu perbincangan bersama wakil penduduk, wakil pihak pengurusan kuil, wakil Majlis Perbandaran Nilai serta pemaju diadakan.
“Perjumpaan ini merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk menggunakan pendekatan secara diplomasi bagi mencari jalan penyelesaian khususnya yang berkaitan sensitiviti agama dan bangsa.
"Pihak kami bersama wakil penduduk setempat dengan pihak pengurusan kuil telah mencapai kata sepakat mengenai perkara tersebut iaitu dengan membina tembok kalis bunyi bagi mengurangkan bunyi yang mengganggu penduduk.
“Selain itu, pihak kuil juga akan membuat jadual lebih teratur berkenaan aktiviti keagamaan yang dijalankan memandangkan kuil ini terletak berhampiran dengan perumahan awam yang hanya jarak lebih 20 meter," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bersama wakil penduduk, wakil pihak pengurusan kuil serta pemaju di sini, hari ini.
Taufek yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi berkata pihak perunding yang terlibat dalam proses pembinaan tembok kuil akan melakukan kajian terlebih dahulu berkaitan tembok tersebut selama sebulan bermula hari ini sehingga 4 Feb.
"Pada 11 Feb, pakar yang terlibat akan melakukan pembentangan serta berkenaan reka bentuk, kos pembinaan tembok dan sebagainya. Seminggu selepas tu, barulah projek ini boleh dimulakan dan pembinaan tembok itu dijangka selesai selewat-lewatnya sebelum Mac," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri J. Arul Kumar berkata inisitaif membawa pihak terlibat untuk duduk semeja akhirnya telah menemui jalan penyelesaian tanpa menimbulkan perbalahan sesama masyarakat.
"Kita juga akan membuat satu 'WhatsApp Group' melibatkan wakil rakyat, wakil penduduk taman serta wakil pihak pengurusan kuil. Jadi kalau ada apa-apa isu dan masalah boleh membuat aduan terus kepada kami supaya ada tindakan segera untuk selesaikan sesuatu masalah yang berlaku," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial