AM

Air Selangor operator tunggal bekalan air di Selangor, KL, Putrajaya

04/01/2019 08:14 PM

PUTRAJAYA, 4 Jan (Bernama) – Air Selangor telah mengambil alih empat syarikat konsesi dan akan beroperasi sebagai operator tunggal perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 1 April tahun ini, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar.

Katanya pengambilalihan syarikat konsesi air melibatkan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd (Abass) telah dilaksanakan sejak penghujung 2015 manakala Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) pada Ogos tahun lepas. 

"Dengan penstrukturan ini dimuktamadkan sepenuhnya, Air Selangor akan menjadi operator tunggal yang akan melaksanakan aktiviti rawatan dan agihan air secara holistik, serta akan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada peningkatan tahap keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan," katanya.

Jayakumar berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Tambahan Ketiga kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini hari ini. Turut hadir Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.

Perjanjian Tambahan Pertama dan Kedua masing-masing ditandatangani pada 10 Julai 2017, dan 21 Sept 2017. 

Menurut Jayakumar, operasi Air Selangor akan dikawal selia melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655). SPAN juga akan memainkan peranan sebagai pusat pendidikan bagi kegunaan air, sumber air, dan pemuliharaan.​​​​​​​

Ditanya sama ada penstrukturan itu dapat dilaksanakan pada tarikh yang ditetapkan, Jayakumar berkata: "Tidak akan ada sebarang penanguhan, sepatutnya tidak akan masalah kerana semuanya telah diselesaikan, jumlah nilai juga telah dipersetujui.

“Kita juga telah mendapat kelulusan kabinet untuk Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) membeli semula aset dari SPLASH dan menyewakan semula kepada Air Selangor.”

“Semua kertas kerja telah disiapkan dan kelulusan juga telah tersedia. Kita hanya perlu lalui proses menandatangani model perniagaan dan aset lama diserahkan kepada Air Selangor pada 1 April. Kami yakin (tiada penangguhan).”

Jayakumar berkata  Air Selangor juga telah merancang perbelanjaan bagi modal kerja (Capex) sebanyak RM30 bilion untuk tempoh 30 tahun bermula tahun ini, bagi meningkatkan sistem perkhidmatan air kepada lebih 9.1 juta orang penduduk di tiga kawasan tersebut.

Jayakumar berkata masih terdapat empat lagi negeri iaitu Perlis, Pahang, Terengganu dan Kedah belum memuktamadkan perstrukturan industri bekalan air dan dijangka tidak akan dapat diselesaikan tahun ini.​​​​​​​

Sementara itu, Amirudin berkata kos pengambilalihan SPLASH adalah ditanggung sepenuhnya Air Selangor, dengan jumlah pembiayaan RM1.9 bilion melalui dana yang disalurkan PAAB dan baki RM650 juta akan dibayar secara ansuran selama sembilan tahun.

Ditanya apakah sumber kewangan pelaburan Capex, beliau berkata ia adalah berlandaskan pelan strategik operasi yang dirangka bagi memenuhi keperluan semasa yang akan datang.

"Perancangan bagi memuktamadkan penstrukturan perkhidmatan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bukanlah sesuatu yang mudah dan perbincangan ‘untuk memindahkan keseluruhan struktur’ telah bermula sejak tahun 2006-2007. Ia telah melibatkan empat menteri besar, tiga setiausaha kerajaan negeri dan tiga menteri," katanya.​​​​​​​

Beliau turut memberi jaminan pihak kerajaan negeri Selangor melalui Pengurusan Air Selangor akan terus memberikan komitmen bagi memberikan perkhidmatan pembekalan air yang efisien, efektif, berdaya saing dan mampan demi memelihara kepentingan kepada pengguna.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan