AM

Tapak pasar pagi Kampung Baru Rahang dijadikan tapak kekal

04/01/2019 11:28 AM

SEREMBAN, 4 Jan (Bernama) -- Tapak pasar pagi di Kampung Baru Rahang akan dijadikan sebagai tapak perniagaan kekal memandangkan ia berada di lokasi yang strategik dengan sejarah kewujudannya yang telah beroperasi sejak 30 tahun yang lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Teo Kok Seong berkata bagi peniaga yang tidak mempunyai lesen, pihaknya akan membantu bagi proses permohonan lesen.

“Selepas saya buat tinjauan hari ini, saya lihat pasar ini berada di lokasi yang strategik yang berhampiran dengan premis kedai makan dan kediaman dan ia ibarat masing-masing memerlukan antara satu lain, penduduk yang datang ke pasar selepas membeli mereka boleh singgah di kedai makan dan ini merupakan aktiviti perniagaan yang baik.

“Selain itu, saya juga melihat terdapat anggota Rela yang diupah sendiri kalangan peniaga untuk mengawal lalu lintas, kerana itu saya akan jadikan tapak ini sebagai tapak kekal dan bagi peniaga yang tidak mempunyai lesen kami akan bantu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media isu perlesenan peniaga Kampung Baru Rahang di sini, hari ini.

Teo berkata demikian berikutan lapan daripada 40 peniaga di kawasan tersebut sebelum ini memaklumkan mereka menerima notis daripada penguat kuasa antaranya mengenai notis tidak boleh berniaga kerana bukan tapak untuk berniaga dan notis tidak mempunyai lesen.

Mengenai Pasar Besar Seremban, Teo berkata para peniaga dijangka boleh berpindah masuk ke premis yang baharu pada bulan Mac ini.

“Pasar dengan wajah baharu ini akan lebih selesa dengan kemudahan lif yang disediakan khususnya untuk memudahkan golongan orang kelainan upaya atau warga emas untuk turun dan naik pasar,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan