Oleh Noraizura Ahmad
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Sejak menyertai Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS), anak muda ini tidak lagi berasa malu atau kurang yakin untuk berhadapan dengan orang ramai.
Beliau seorang pelajar bidang Kejuruteraan Perkhidmatan Bangunan, Politeknik Sultan Azlan Shah, berkata bukan sahaja malu dalam dirinya dapat dikikis malah YSS juga membantu dalam aspek pembentukan serta pengurusan diri.
“Ada menganggap kerja sebagai sukarelawan memenatkan, membazir masa, perlu ‘bermain’ dengan lumpur, tetapi tanggapan itu salah kerana banyak perkara yang dilakukan mengajar diri menjadi lebih baik dan ikhlas berkhidmat kepada komuniti,” demikian kata Sathesh Kumar Seluaraj, 21.
YSS juga, kata Sathesh, mengajarnya dalam memimpin dengan baik lebih-lebih lagi sewaktu menghadapi masalah atau krisis pasukan pada setiap misi yang dilakukan.
“Kini saya lebih berkeyakinan dalam menguruskan pasukan dan berani menyuarakan pendapat. Saya juga memberi galakan kepada rakan sekuliah agar menyertai kerja sukarela termasuk di kampus dan kawasan pedalaman,” katanya yang menyertai YSS sejak 2016.
SUKARELAWAN GLOBAL
Sementara itu, pengerusi YSS Datuk Zuraidah Atan berkata pelbagai program sukarelawan diatur terutamanya bagi melatih para sukarelawan dalam kemahiran bercakap dan membina keyakinan diri untuk menjadi pemimpin di peringkat masing-masing.
YSS ditubuhkan pada 2012 untuk melahirkan pemimpin sukarelawan dan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan yang melahirkan sukarelawan global.
Badan sukarela itu juga komited dalam mempromosi keamanan dunia dengan memupuk semangat setia kawan melalui perkhidmatan komuniti di dalam dan luar negara.
“Bagi merealisasikan matlamat, kita mulakan di peringkat ASEAN dengan membabitkan mahasiswa daripada pelbagai latar belakang pengajian seperti mahasiswa Universiti Awam (UA), Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Politeknik, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Kolej Komuniti,” jelas beliau.
Usaha YSS membuahkan hasil apabila program dan misinya disertai Laos dan Vietnam pada 2014.
Kemuncak kepada pengiktirafan ASEAN adalah apabila 200 mahasiswa dari 10 negara anggota ASEAN dan China menyertai misi ke Sarawak pada Julai 2018.
PENGIKTIRAFAN ASEAN
“Kami bukan sahaja giat melahirkan pemimpin sukarelawan di Malaysia malah di negara-negara lain. Kami mahu melahirkan sukarelawan yang boleh dijadikan model untuk semua sukarelawan terutamanya di peringkat dunia.
“Sokongan dan penyertaan negara ASEAN itu menunjukkan pengiktirafan terhadap YSS sebagai platform untuk melahirkan ikon sukarelawan siswa,” katanya ketika ditemui Bernama pada program Pembangunan Kepemimpinan Sukarelawan (VLDP) dan ‘Alumni Strategic Retreat (ASR)' YSS-ASEAN China di Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC), Bangi baru-baru ini.
Sejak penubuhan YSS, pelbagai misi sukarelawan dilaksanakan di negara ASEAN, juga di Perancis yang merangkumi -aktiviti pendidikan, pembangunan masyarakat, kesihatan, alam sekitar, kemahiran teknologi dan pengurusan bencana.
Zuraidah menegaskan bahawa setiap misi yang dilaksanakan siswa dan alumni YSS bukan sekadar omongan kosong kerana mereka perlu membuktikan impak kepada program yang dianjurkan.
“Apabila menjalankan kerja sukarelawan seperti membina gelanggang badminton, mereka perlu membuktikan apakah impak kepada sumbangan yang diberikan.
“Kerja sukarelawan bukan sekadar popular tetapi adalah proses pembelajaran, untuk membuka minda selain memastikan mereka sentiasa bersedia dalam menghadapi sebarang keadaan,” katanya sambil menambah bahawa YSS mempunyai lebih 1500 alumni sejak penubuhannya.
BINCANG HALA TUJU
Program VLDP dan YSS-ASEAN yang turut disertai peserta dari China itu merupakan program tahunan yang mengumpulkan 200 siswa dan alumi YSS bagi berkongsi pendapat dan pengalaman dalam menjalankan misi sukarelawan di negara masing-masing.
“Setiap peserta diberi peluang membincangkan hala tuju YSS bagi menambah baik pelaksanaan operasi misi sukarelawan serta melahirkan kepimpinan sukarelawan dalam kalangan siswa atau anak muda pada masa hadapan.
“Penyertaan siswa ini adalah persediaan untuk membentuk mereka menjadi pemimpin yang prihatin dan berintegriti suatu hari nanti,” katanya.
Peserta juga diberikan pendedahan mengenai kesukarelawanan secara global menerusi pelbagai slot sepanjang program lima hari itu selain lawatan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Muzium dan Galeri Seni Bank Negara dan Zoo Negara.
BENTUK PERIBADI DAN KEYAKINAN DIRI
Salah seorang sukarelawan yang menyertai misi ke Sarawak pada Julai tahun lalu adalah peserta Myanmar, Sha Mway La, 24, yang berhadapan masalah malu dan kurang keyakinan untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris sebelum menyertai YSS.
Sejak itu, pelajar jurusan Falsafah dari Universiti West Yangon itu mengakui berjaya membangkitkan semangatnya untuk lebih aktif dalam aktiviti sukarelawan.
“Banyak pengalaman saya perolehi ketika di Sarawak dan YSS banyak memberi galakan dan kemahiran untuk membantu orang lain terutamanya kawasan luar bandar,” katanya yang kini dalam rangka menjalankan program sukarelawan membabitkan warga emas di Myanmar.
Phetsila Phoumbandith, 19, dari Laos juga mengakui pada mulanya sukar untuk berkomunikasi dan tidak yakin untuk mengajar.
“Saya seorang yang pemalu dan kurang berkeyakinan untuk memberi pandangan. Program YSS membentuk peribadi, mengajar bekerja dalam kumpulan serta memberi sokongan berterusan dalam kesukarelawanan,” katanya.
LAHIR SUKARELAWAN BERJAYA
Alumni YSS dari Brunei, Aminah Faizah Kaharuddin, 24, berkata pengalaman menyertai YSS sejak setahun lalu banyak membentuk keperibadian dan keyakinan dirinya untuk berhadapan khalayak.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Oceanography, dari University of Southampton, England itu berkata, ilmu yang diperolehinya kini dikongsikan kepada kanak-kanak di Thailand menerusi program Ocean Conservation Training and Outreach (OCTO) yang merupakan ideanya selepas menyertai misi di Sarawak.
“Adalah menjadi kebanggaan menjadi sebahagian YSS kerana ia banyak mengajar mengenai kemahiran dan membuatkan anda keluar dari zon selesa.
“Saya juga dapat membentuk diri dan menjadi pemimpin dengan mengadakan program sukarelawan kepada masyarakat,” katanya yang kini bekerja di sebuah kedai skuba di Khaolak, Thailand sebagai jurulatih skuba.
Program OCTO memberi peluang kepada remaja berusia 18 tahun ke bawah mempelajari selam skuba, berenang dan program membersih pantai.
BENTUK PERIBADI
Sementara itu, alumni YSS dari Malaysia, Siti Zurianah Ismail, 24, memberitahu bahawa beliau adalah antara anggota terawal YSS, ketika masih menuntut di Univerisiti Sains Malaysia pada 2012.
Lulusan ijazah Sarjana jurusan Kewangan itu berkata penglibatannya dalam YSS memberi pengalaman yang tidak dapat diperolehi di mana-mana universiti dan setiap misi yang berjaya membentuk peribadinya sebagai seorang pemimpin serta membina kekuatan mental.
“Dulu mungkin orang pandang sukarelawan ini seperti ‘touch n go’ iaitu beri bantuan dan kemudian balik. Kini tidak lagi dengan YSS setiap yang dilakukan boleh memberi impak kepada komuniti dan sukarelawan itu sendiri,” katanya yang sudah menyertai 10 misi ke negara ASEAN dan Perancis.
Melalui YSS, beliau memperolehi anugerah Tokoh Sukarelawan Terbuka Terbaik dan Naib Johan Tokoh Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi pada 2016.
Siti Zurianah berkata kerajaan juga semakin memberi sokongan dan penglibatannya dengan YSS memberi kejayaan dalam bidang pekerjaan dan menjalankan perniagaan.
Beliau berkata, kini sudah tiba masanya untuk membantu dalam melahirkan sukarelawan berjaya dengan berkongsi pengalaman dan melatih siswa baharu menyertai YSS supaya berjaya seperti dirinya.
Disunting oleh Sarimah Othman
BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial