JAKARTA, 23 Dis (Bernama) -- Tsunami yang berlaku di Selat Sunda tanpa disebabkan gempa bumi kini mengorbankan lebih 200 nyawa.
Berdasarkan data yang dikeluarkan Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNBP) setakat 4 petang ini, korban akibat tsunami itu kini seramai 222 orang, 843 cedera dan 28 dilaporkan masih hilang.
Menurut Ketua Pusat Data Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Sutopo Purwo Nugroho, sebanyak 556 unit rumah dilaporkan musnah, 9 unit hotel mengalami kerosakan teruk, 60 rumah kedai rosak, 350 kapal dan perahu musnah.
"Tidak ada korban warga negara asing. Semua warga Indonesia. Korban dan kerosakan ini meliputi di 4 kabupaten iaitu Kabupaten Pandeglang, Serang, Lampung Selatan dan Tanggamus," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Jumlah berkenaan dikhuatiri terus meningkat kerana pasukan mencari dan menyelamat masih belum dapat memasuku semua kawasan yang terjejas akibat tsunami itu.
Sementara itu Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla dipetik agensi berita Antara berkata tsunami itu merupakan kejadian luar biasa kerana ia bukannya akibat susulan berlakunya gempa bumi.
“Ini suatu kes yang tidak biasa, bahawa tsunami tanpa gempa. Jadi gejalanya ada kemungkinan dari perubahan atau letusan Gunung Anak Krakatau," katanya.
Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dalam satu kenyataan berkata tsunami yang berlaku jam 9.27 malam tadi itu disebabkan gelombang kuat di perairan Selat Sunda dan berlakunya letusan di Gunung Anak Krakatau.
BMKG masih melakukan penyelidikan terperinci sebab berlakunya tsunami itu.
Tsunami itu dipercayai berlaku disebabkan pergerakan tanah di bawah dasar laut akibat letusan gunung Anak Krakatau yang disusuli dengan gombang air pasang serta gelombang kuat dan kombinasi itu menyebabkan tsunami berlaku secara tiba tiba.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial