FOKUS BERNAMA

JBPM Perak Perkasa Kemahiran Pasukan MUST

21/12/2018 12:03 PM

Oleh Ahmad Erwan Othman

 

BIDOR (Bernama) -- Sekumpulan pendaki ‘terkandas’ di dalam kawasan hutan yang berbukit-bukau berdekatan kawasan rekreasi Lata Jala, di Hutan Simpan Bukit Tapah, di sini.

Mereka kemudiannya terpaksa menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan apabila salah seorang daripada pendaki itu "mengalami kecederaan".

JBPM menghantar Pasukan Pelbagai Kemahiran atau Multi Skill Team (MUST) untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke lokasi berkenaan. Bagaimanapun MUST terpaksa meminta bantuan Unit Udara JBPM, Pasukan Khas Udara Bomba (Paskub) bagi melancar dan mempercepatkan operasi itu memandangkan lokasi kumpulan pendaki itu terkandas sukar dimasuki kenderaan darat.  

Tambahan, anggota MUST perlu meninggalkan kenderaan di kawasan Kampung Poh - kira-kira tujuh kilometer dari Bidor - sebelum meredah hutan dan mendaki untuk selama kira-kira lima jam sebelum sampai ke lokasi para pendaki itu.

Mereka mendapati operasi menyelamat sukar dijalankan melalui laluan darat apatah lagi untuk membawa ‘mangsa’ menggunakan ‘stretcher’.

Anggota MUST perlu menebang pokok untuk memberi ruang pendaratan bagi helikopter dan pohon buluh untuk menyalakan api sebagai isyarat asap kepada Paskub.

Sebuah helikopter bomba jenis Mi-17-IV Paskub dari Pangkalan Udara Subang digerakkan ke lokasi dan berjaya membawa keluar mangsa dalam masa kira-kira 30 minit.

Begitulah antara senario latihan khas operasi SAR pasukan MUST dan Paskub. Walaupun hanya latihan, segala aspek diberi perhatian serius sepertimana keadaan kecemasan sebenarnya.

 

STATUS ELIT

Latihan khas anjuran JBPM negeri yang berlangsung selama lima hari itu menghimpunkan 42 pegawai dan anggota MUST dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) seluruh Perak.

Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa JBPM juga terlibat dalam operasi seumpama itu dan anggota MUST serta Paskub perlu mempunyai kemahiran khusus untuk menangani bermacam-macam situasi kecemasan. MUST adalah pasukan berstatus elit yang ditubuhkan pada September 1998, yang juga merangkumi Paskub.

Tidak semua anggota JBPM mampu mencapai kelayakan untuk menganggotai skuad berkenaan kerana mereka perlu menjalani latihan asas dan menguasai pelbagai kemahiran termasuk ikhtiar hidup serta teknik ‘abseiling’ dan ‘fast roping’ atau ‘winching’ sebelum ditauliahkan menganggotai unit khas itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi negeri Perak, Penguasa Kanan Bomba I Mohamad Yunus Abu berkata menyedari bahawa trend semasa adalah aktiviti rekreasi lasak seperti berkhemah dalam hutan, mendaki bukit dan sebagainya, maka latihan seumpama itu amat sesuai bagi menguji tahap kesiapsiagaan petugas pasukan MUST dalam menghadapi dan menjalankan operasi luar jangka.

“Kita memilih lokasi latihan di Bidor kerana kawasan ini mempunyai beberapa tempat aktiviti rekreasi berpotensi yang dikenalpasti oleh Jabatan Perhutanan. Antaranya Gunung Batu Putih, Gunung Bar Gading dan Gunung Ulu Kinjor yang masing-masing ketinggiannya antara 1,200 meter (m) hingga 2,100m serta Lata Jala.

“Kawasan tanah tinggi mempunyai cabaran tersendiri dalam usaha SAR. Jadi bomba Perak terutamanya pasukan MUST perlu bersedia sepanjang masa untuk menghadapi keadaan sedemikian,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

 

GUNA SUMBER ALAM

Sepanjang latihan itu, peserta didedahkan kepada pelbagai modul praktikal, teori, pengurusan logistik seperti kesediaan peralatan, tahap keberkesanan komunikasi dan perancangan strategik, selain senario menyelamat seumpama itu agar dapat memberi gambaran lebih tepat.

Antara operasi pasukan MUST Perak dan Paskub yang pernah dilakukan adalah membawa keluar seorang pendaki yang cedera akibat terjatuh ketika mendaki Gunung Kenderong di Gerik dengan menggunakan khidmat sebuah helikopter dari Pangkalan Udara JBPM Bertam, Pulau Pinang pada Mac lalu.

“Latihan perlu kerap dilakukan bagi memastikan pasukan lebih cekap, sentiasa bersedia dan tidak berlalu kelalaian. Petugas MUST dan Paskub diwajibkan menjalani latihan seberapa kerap yang mungkin bagi memantapkan pasukan ketika menghadapi bencana,” tambah beliau.

Mohamad Yunus berkata petugas yang menyertai kursus mempunyai kelebihan berbanding kemahiran pertolongan cemas sedia ada pada setiap anggota. Antaranya adalah apabila tidak ada bekalan perubatan yang mencukupi, mereka berupaya menggunakan sumber alam bagi memberikan rawatan awal kepada mangsa.

“Dari segi penyelamatan dalam hutan, kita tidak boleh masuk hutan dengan membawa peralatan yang banyak. Jadi kita akan menggunakan sumber sedia.

Contohnya jika mangsa patah tangan, mereka ada kemahiran menggunakan akar, kayu atau rotan sebagai anduh, atau membuat ‘stretcher’ daripada kayu dan memastikan mangsa selamat dibawa keluar. Itu kelebihan petugas MUST,” katanya.

 

KEADAAN TIDAK TERJANGKA

Sementara itu, Komander Pasukan MUST Perak, Pegawai Bomba Kanan(PBK) II, Sabarodzi Nor Ahmad yang juga merupakan Penolong Pengarah Bahagian Latihan negeri berkata, sebagai satu komponen utama unit udara bomba, anggota wajib mahir melaksanakan tugas menaikkan mangsa menggunakan kaedah ‘winching’ iaitu turun daripada helikopter ke kawasan berisiko menggunakan kabel.

Pengendalian situasi seumpama itu bukan hanya bergantung kepada kemahiran, tetapi fokus dalam mengawal tindakan khususnya ketika berdepan keadaan tidak terjangka.

Petugas MUST perlu berada beberapa langkah di hadapan bagi membantu Paskub kerana mereka yang menentukan keperluan menggunakan pesawat untuk operasi penyelamatan.

MUST Perak mempunyai 40 anggota termasuk seorang wanita. Anggota-anggota ini menjalani rutin tugas seperti anggota biasa dan ditempatkan di balai tertentu daripada 32 BBP seluruh Perak. Mereka dikumpulkan bergantung kepada zon sekiranya ada sebarang kecemasan.

 

WANITA TUNGGAL MUST PERAK

 

Anggota bomba dari BBP Meru Jaya, Ipoh, Fauziah Baharuddin, 35, adalah satu-satu anggota wanita di Perak yang bertugas dalam pasukan elit MUST.

Bertugas selama 11 tahun dengan JBPM, Fauziah yang sememangnya gemar cabaran lasak sejak kecil menyertai pasukan MUST sejak lebih sembilan tahun, namun kini lebih aktif sebagai tenaga pengajar bagi aktiviti pengukuhan dan pemantapan.

Anak jati Kuala Kedah itu berkata suaminya Muhamad Asyraf Zarin Baharudin, yang bertugas dalam Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) Bomba dari BBP Pasir Puteh (Ipoh),  memainkan peranan penting menyokongnya.

“Alhamdulillah saya bertuah kerana suami memahami kerjaya ini. Sebagai petugas MUST, saya perlu jalankan tugas sepertimana petugas-petugas lelaki,” katanya sambil mebambah kata bahawa selain ketelitian dan ketangkasan, ketahanan mental yang tinggi amat penting sebagai petugas MUST.

Bagi Fauziah, penempatannya dalam unit MUST memberi ruang untuk berkhidmat kepada masyarakat dalam perspektif berbeza walaupun pada waktu lain beliau berkhidmat dalam Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

 

PENGALAMAN OPERASI BERHARGA

Seorang lagi PBK II Nor Azam Abdul Rahman, 51, dari BBP Meru Jaya berkata memang sukar melupakan bermacam-macam pengalaman ketika melakukan operasi menyelamat, baik di dalam mahupun luar negara termasuk beberapa kali memadamkan kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia.

Bertugas dalam pasukan MUST sejak 16 tahun lalu, beiau yang berasal dari Tambun, Perak berkata, sebagai anggota yang berusia dalam pasukan, beliau bertuah kerana diberi kesempatan merasai pengalaman bertugas di bawah Unit Udara dan pasukan MUST.

“Setiap operasi menyelamat mempunyai banyak kisah dan cabarannya. Walaupun tugas mencabar, tetapi bagi saya ia berbaloi. Untuk itu saya perlu mengutamakan stamina pada tahap diperlukan dan kekal fokus bersama pasukan MUST,” katanya yang telah 25 tahun berkhidmat dalam JBPM dan kini juga diserap berkhidmat dalam Unit EMRS.

 

Disunting oleh Sarimah Othman

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan