AM

Kementerian Pertahanan nafi laporan pengambilan 75 Wataniah berbangsa India

20/12/2018 10:10 PM

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Kementerian Pertahanan menafikan mengenai catatan di laman Facebook dan laporan sebuah surat khabar Tamil yang mengatakan pihaknya telah bersetuju mengambil kesemua 75 orang belia berbangsa India yang dilatih Askar Wataniah, meskipun 60 orang daripada mereka tidak memenuhi kelayakan.

Pejabat Timbalan Menteri Pertahanan dalam satu kenyataan berkata kementerian tidak pernah memberi jaminan mengambil kesemua pemohon itu dalam pasukan Wataniah.

“Fakta berkenaan tidak benar. Pihak Kementerian bersetuju untuk mengkaji semula permohonan-permohonan itu supaya mereka yang memenuhi syarat kemasukan tetapi tercicir sebelum ini boleh dipertimbangkan semula,” menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu turut memaklumkan, keutamaan kemasukan ke perkhidmatan sukarela Wataniah diberikan kepada calon-calon yang mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV)/Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) atau setaraf atau tamat tingkatan 5.

Namun, pihak Wataniah juga mempertimbangkan calon-calon yang memiliki Sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau Pentaksiran Tingkatan 3 atau sekurang-kurangnya tamat tingkatan 3 di sekolah bantuan kerajaan serta boleh bertutur, membaca dan menulis dalam Bahasa Malaysia dengan memuaskan.

“Kelonggaran ini diberi tanpa mengira kaum dan agama,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan