AM

Tiga daerah Terengganu dilanda banjir

17/12/2018 07:37 PM

KUALA TERENGGANU, 17 Dis (Bernama) -- Hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi menyebabkan tiga daerah di Terengganu dilanda banjir iaitu di Marang, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata ketika ini, proses pemindahan penduduk yang terjejas banjir masih dijalankan di lokasi yang terlibat.

"Hujan yang direkodkan di stesen-stesen bacaan sekitar daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang menunjukkan keamatan hujan yang sangat lebat melebihi 100mm dalam tempoh tiga jam dan ada yang melebihi 200mm dalam tempoh enam jam.

"Kebiasaannya, hujan 200mm ini direkod untuk tempoh sebulan pada luar musim tengkujuh," katanya kepada pemberita hari ini.

Pusat bandar Kuala Terengganu turut dilanda banjir iaitu di sekitar Jalan Sultan Omar dan Jalan Kamarudin serta kawasan perumahan di Taman Sri Intan, Jalan Tekukur dan Taman Dahlia.

Che Adam berkata Jabatan Meteorologi menjangka hujan lebat akan berterusan sehingga esok di seluruh negeri Terengganu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula dalam satu kenyataan melaporkan kebanyakan sungai-sungai masih lagi berada di paras normal kecuali Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu dan Sg Chalok di Setiu yang baru sahaja melepasi paras waspada pada 10 pagi tadi.

"Daripada jadual pasang surut yang dikeluarkan oleh Pusat Hidrografi Nasional Malaysia, air laut pasang besar akan bermula 20 hingga 28 Dis ini," kata kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan