SUKAN

Puchong Fuerza FC muncul juara SCL 2018

17/12/2018 12:32 AM

SHAH ALAM, 16 Dis (Bernama) -- Pasukan Puchong Fuerza FC muncul juara kejohanan bola sepak Selangor Champions League (SCL) 2018 selepas menewaskan KRU Port Klang FC, 3-0 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Tirai jaringan pasukan berpangkalan di Puchong itu disumbangkan Muhammad Afiq Azmi pada minit ke-48, dan kecuaian pertahanan KRU Port Klang FC terus dihukum pada minit ke-58, kali ini menerusi Mohammad Hakim Zainal.

Muhammad Afiq sekali lagi menambah derita pasukan lawan apabila bijak mengambil peluang menjaringkan gol ketiga pada minit ke-65 susulan keadaan kelam-kabut di hadapan gawang KRU Port Klang FC.

Selaku juara, pasukan Puchong Fuerza FC membawa pulang trofi dan wang tunai RM14,000 selain layak ke saingan Piala FA Malaysia musim 2019.

Puchong Fuerza FC turut menerima tajaan kelengkapan pakaian daripada Kaki Jersi sepanjang kempen Piala FA tahun depan.

KRU Port Klang FC yang muncul naib juara membawa pulang hadiah wang tunai RM8,000.

Trofi disampaikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Tengku Amir Shah selaku Penaung Diraja Selangor Youth Community (SAY), yang menjadi penganjur bersama Football Selangor bagi kejohanan berkenaan.

Turut diadakan perlawanan antara Pilihan Selangor menentang Dugong All Star yang dimenangi Pilihan Selangor dengan jaringan 5-0.

SCL yang pertama kali dianjurkan pada 2016, bertujuan untuk menaikkan tahap bola sepak amatur di Selangor dan mencungkil bakat bola sepak di peringkat komuniti.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan