AM

Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2018 disambut serentak seluruh negara

09/12/2018 03:16 PM

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Program Walk-About Perdana sempena Sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2018 hari ini disambut serentak di seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya rasuah.

Bertemakan ‘Bersatu Menentang Rasuah’ sambutan HARA 2018 itu merupakan program usahasama antara SPRM bersama Transparency International Malaysia, Yayasan Anti Rasuah Malaysia, Majlis Belia Malaysia dan Corporate Research and Investigations Group.

Di PUTRAJAYA, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull melepaskan sukarelawan program Walk-About HARA 2018.

Di PULAU PINANG, HARA 2018 disambut dengan acara larian Go Green Run sejauh lima kilometer  anjuran bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang disertai Pengarah SPRM negeri Datuk Wan Ramli Wan Abdullah dan Setiausaha MBPP Addnan Mohd Rozali, serta 2,000 peserta yang lain.

Di NEGERI SEMBILAN, program tersebut dilancarkan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Zulkefly Mohamad Omar. Turut hadir Pengarah negeri Hairuzam Mohmad Amin @ Hamim, Pengerusi Yayasan Anti Rasuah Malaysia negeri Azizah Ismail dan Presiden Persatuan Pesara dan Bekas Kakitangan SPRM Datuk Seri Mohamad Jamidan Abdullah.

Di PERAK, program tersebut dilancarkan Pengarah SPRM negeri Datuk Zainul Darus dan disertai 10 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Yayasan Anti Rasuah Malaysia Negeri Perak dan Majlis Belia Malaysia.

Di SARAWAK, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip yang merasmikan program itu menggesa SPRM memberi kerjasama dalam mencegah rasuah serta menyemai  budaya integriti dan antirasuah dalam kalangan masyarakat.

Di TERENGGANU, lebih 50 pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan orang awam menyertai program Walk-About Perdana sempena HARA 2018 itu. Turut hadir Pengarah SPRM negeri Mohd Zaki Hassan dan Pengerusi Yayasan antirasuah Terengganu Mohd Izham Ahmad.

Bercakap kepada pemberita, Mohd Zaki berkata bagi mengekang masalah rasuah, pihaknya akan terus mendekati masyarakat dan menambah keanggotaan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR).

Di SABAH, Program Walk-About Perdana HARA 2018 disertai 400 pelajar Institusi Pengajian Tinggi termasuk dari Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Teknologi Mara Sabah.

Program yang diadakan di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah itu disempurnakan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Mokhtar.

Di SELANGOR, program yang berlangsung di pasar raya The Curve turut menyaksikan borang kaji selidik berkaitan rasuah diedarkan kepada pengunjung bagi melihat sejauh mana kefahaman dan penerimaan masyarakat mengenai gejala itu.

Di KELANTAN, program yang dilaksanakan bersama rakan strategik iaitu Kolej Poly-Tec MARA (KPTM) Kota Bharu dan Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Kelantan itu disertai 200 peserta yang  mengedarkan risalah mengenai bahayanya rasuah kepada pengunjung di lima lokasi iaitu pasar raya KB Mall, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Pasar Wakaf Che Yeh, Pasar Besar Siti Khadijah dan Hospital Universiti Sains Malaysia.

Di PERLIS, lebih 100 sukarelawan termasuk wakil agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan NGO menyertai program itu di Terminal Feri Kuala Perlis. Dua lagi lokasi ialah di Arked Niaga Padang Besar dan Nat (pasar minggu) Pokok Getah di Arau.

Pada program itu, para sukarelawan bersama pegawai SPRM turun padang bertemu masyarakat dalam usaha mendidik masyarakat tentang rasuah. 

Di JOHOR, seramai 150 sukarelawan negeri menyampaikan maklumat ringkas mengenai gejala rasuah selain mengedarkan borang kaji selidik.

Di KEDAH, HARA 2018 peringkat negeri diadakan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar dengan turut dihadiri Pengarah SPRM negeri, Datuk Mohd Fauzi Mohamad.

Di PAHANG, kira-kira 200 sukarelawan dari Yayasan Anti Rasuah Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah, Kolej Universiti Yayasan Pahang dan Majlis Belia Malaysia (MBM) Pahang menyertai acara tersebut di Kompleks SPRM Pahang.

Acara yang turut disertai Pengarah SPRM negeri Mohamad Fauzi Husin menyaksikan sukarelawan menyampaikan maklumat ringkas dan soal selidik mengenai rasuah kepada orang ramai.

Di MELAKA, program berkenaan disertai kira-kira 100 sukarelawan SPRM negeri yang dirasmikan Timbalan Pengarah Operasi SPRM negeri Melaka Bahrudin Suib. Turut hadir Timbalan Pengarah (Pencegahan) SPRM Melaka Ahmad Faizul Abdul Rashid.

Ahmad Faizul berkata aspek pencegahan SPRM Melaka akan memberi fokus terhadap pendidikan dalam kalangan kanak-kanak prasekolah sehingga pelajar di peringkat universiti dalam usaha menyemai kesedaran tentang pencegahan rasuah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan