FOKUS BERNAMA

Kisah kejayaan Bobby Chua ternak ikan laga

27/11/2018 01:25 PM

Oleh Ahmad Muliady Abd Majid

Bahagian kedua daripada tiga bahagian rencana mengupas mengenai ikan laga atau ikan Betta yang dahulunya dilihat sebagai ikan picisan yang tidak berharga kini semakin rancak berkembang menjadi  sebuah perniagaan dan industri selain mengubah kehidupan penggiatnya. 

 

MELAKA (Bernama) -- Mencari ikan laga atau ikan betta di paya dan sawah padi merupakan aktiviti harian Bobby Chua ketika tinggal di pekan Durian Tunggul, daerah Alor Gajah sekitar tahun 70an.

Balik sahaja dari sekolah sesi petang atau semasa hari cuti, dia dan beberapa orang kawan sekolahnya pasti akan berlumba-lumba untuk mencari sebanyak mungkin ikan laga tetapi pada masa itu hanya untuk koleksi peribadi.

Daripada sekadar hobi memiliki ikan laga yang biasa-biasa sahaja, anak jati Melaka ini mula secara serius bereksperimen untuk menghasilkan ikan laga jenis ‘giant’ sesuai dengan nama ikan laga atau pelaga.

Dia mendapat idea itu selepas melihat kehebatan ikan laga jenis ‘giant’ milik rakannya menewaskan ikan laga lain dan memasang impian untuk membeli ikan yang hebat itu. Rakannya membeli ikan laga itu dengan harga RM5 dan bagi Chua, ia terlalu mahal dan terpaksa melupakan impian berkenaan.

 

HASIL EKSPERIMEN

Seperti ikan laga yang terkenal dengan sifat tahan lasak, kekecewaan itu bagaimanapun menyuntik semangat untuk anak remaja ini bereksperimen bagi menghasilkan ikan laga bukan hanya cantik tapi garang berasaskan pemerhatianya terhadap habitat asal ikan laga.

Kegigihan remaja ini terbukti apabila eksperimennya berjaya membuahkan hasil. Daripada sekadar hobi semasa kecil, ikan laga atau betta ini kini menjadi perniagaan besar untuk Chua yang mempunyai kelulusan dalam bidang ‘Quantity Surveyor’ dari sebuah universitI di United Kingdom.

Beliau mula serius menerokai bidang perniagaan ikan laga ini sekembalinya ke tanah air dari United Kingdom pada sekitar tahun 90an .

Berkongsi kisah awalnya menjalankan eksperimen ikan laga, Chua yang ketika itu berusia sekitar lapan tahun berkata dia mengumpul air dari paya, bukit dan sawah padi untuk mencari sumber air yang paling sesuai untuk menghasilkan ikan bermutu.

“Setiap hari tanpa rasa jemu saya memunggah dua baldi air untuk eksperimen saya dan akhirnya selepas beberapa kali berusaha, eksperimennya berjaya menghasilkan ikan laga bersaiz besar dengan menguna teknik ‘pembiakbakaan kacuk’ melibatkan beberapa induk spesies ikan tempatan, “ kata Chua, 45, yang merupakan pengasas Persatuan Ikan Betta Malaysia (BSM).

Bertolak daripada kejayaan tersebut, beliau terus melakukan kajian sehingga hari ini bagi menghasilkan baka ikan laga bermutu tinggi dengan mengguna kaedah alam semula jadi.

“Antara spesies ikan yang saya hasilkan adalah Super Red Betta, Super Black Betta, Gaint Koi Betta, Gaint Galaxy Betta, Black Dragon Pradise Betta dan banyak lagi,” katanya sambil menambah Komuniti betta antarabangsa turut mengiktiraf ikan laga jenis ‘solid colour’ yang dihasilkannya antara ikan laga terbaik di dunia.

Beliau berkata kebanyakan daripada pembeli dari luar negara seperti dari Jepun, Taiwan, Hong Kong dan Singapura lebih  berminat dengan ikan laga jenis Super Red Betta.  

 

KAEDAH SEMULAJADI  

Berbeza daripada kaedah moden, ikan laga yang dihasilkan menguna kaedah alam semula jadi mempunyai kelebihan dari segi warna, saiz dan jangka hayat lebih lama berbanding ikan yang dibela menguna kaedah akuarium.

“Kita tahu habitat asal ikan ini adalah air yang kotor serta hitam dan bukannya air jernih seperti air yang terdapat dalam akuarium.

“Daripada pemerhatian dan perkongsian dengan penternak lain, rata-rata ikan laga yang mereka bela boleh hidup dalam jangka masa dua atau tiga tahun sahaja berbanding ikan yang saya bela boleh hidup sehingga tujuh tahun,” katanya.

Beliau yang berpengalaman lebih 37 tahun menternak ikan laga berkata ini adalah kerana ikan laga  berkenaan dibiarkan hidup dalam cuaca panas, air berlumpur, terdedah pada hujan tanpa perlindungan  seperti pada habitat asalnya.

Bagi memastikan ikan laga yang dibelanya dapat hidup lama, Chua membina kolam asuhan anak ikan laga di luar bangunan agar anak ikan tidak manja dan tahan lasak. Sehingga ini beliau mempunyai 70 buah kolam untuk tujuan berkenaan.  

 

BETTA ASLI TEMPATAN  

Bercakap lebih lanjut mengenai ikan laga atau betta, Chua memberitahu penulis tentang betta alam (betta liar) iaitu spesies ikan laga asli di negara ini. Terdapat lebih kurang  20 jenis ikan laga ini yang  mempunyai perbezaan, antaranya daripada segi warna dan sirip. Spesies ini dahulunya mudah ditemui di paya, sungai, parit dan juga sawah padi.

Di kalangan spesies betta alam ini ada yang semakin terancam, seperti Betta Mecrostoma, Betta Persephone dan Betta Coccina yang kini susah untuk dijumpa. Harga ikan-ikan ini dalam pasaran tempatan agak tinggi iaitu antara RM10 hingga RM20 seekor.

Chua berkata spesies betta alam lain yang sukar ditemui ialah Betta Imbellis dan Betta Pugnax. “Dahulu ikan-ikan ini mudah ditemui di sawah padi sekitar Melaka, namun kini hanya boleh ditemui di negeri sebelah utara iaitu Kedah dan Perlis.”

Antara faktor yang mengancam spesies betta alam ialah faktor pembangunan pesat yang menganggu ekosistem semula jadi, perladangan dan kehadiran ikan pemangsa seperti ikan haruan dan ikan keli.

Menurut Chua, sebagai peminat ikan laga, beliau mengambil inisiatif sendiri memelihara beberapa spesies ikan betta alam bagi tujuan pemuliharan dan juga rujukan.  

 

INDUSTRI IKAN LAGA  

Meskipun perkembangan industri ikan laga di negara ini agak terkebelakang berbanding negara jiran seperti Thailand dan Indonesia, namun spesies ikan laga yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan mempunyai kelebihan dan keistimewaanya tersendiri.

Menurut Chua berkata faktor perkembangan pesat industri ikan laga dan kos pengeluaran yang murah di negara jiran menyebabkan Malaysia ketinggalan walaupun pernah dinobatkan sebagai pengeksport utama ikan hiasan pada satu ketika dahulu

Katanya meskipun pengeluar ikan laga di negara ini tidak mampu bersaing dari segi kuantiti eksport, namun Malaysia mempunyai kepakaran dalam menghasilkan ikan laga berkualiti tinggi.

“Kita mungkin tidak dapat bersaing dari segi kuantiti namun pengusaha kita mampu menghasil ikan yang mempunyai kualiti yang hampir sempurna,” katanya.

Beliau menambah sebahagian  besar pengusaha ikan laga tempatan  bergantung sepenuhnya kepada pasaran domestik namun mereka tidak akan boleh bertahan lama sekiranya tidak mencari  alternatif baharu iaitu menerokai pasaran antrabangsa.

“Jika hanya bergantung kepada pasaran tempatan, lama kelamaan mereka (pengusaha ikan laga) akan menghadapi masalah lambakan pasaran berikutan pertambahan bilangan pengusaha setiap tahun.

“Bagi menembusi pasaran antarabangsa, kita memerlukan bantuan kerajaan bagi menjadikan ikan betta sebagai salah satu daripada produk eksport negara pada masa akan datang seperti mana yang sedang giat diusahakan oleh kerajaan negara jiran seperti Indonesia,” katanya.

 

MALAYSIA BETTA STANDARD  

Chua berkata bagi meningkatkan dan mengekalkan mutu pengeluaran ikan laga, beliau mengsyorkan agar pihak persatuan bersama kerajaan berganding bahu bagi mewujudkan satu piawaian khas ikan laga  mengikut acuan tempatan.

“Saya pernah terlibat sama dengan BSM bagi mewujudkan piawaian Malaysia Betta Standard (MBS} pada tahun 2009 namun ianya gagal kerana pada masa itu, kita masih belum mempunyai pakar dalam bidang tersebut.

“Namun sekarang kita telah mempunyai ramai ahli yang mempunyai sijil pengadilan yang dikeluarkan oleh  The International Betta Congress (IBC) dan berupaya menghasilkan MBS sendiri yang mengikut acuan tempatan,” katanya.

Chua yang berpangalaman lebih 10 tahun sebagai ketua juri pada beberapa kejohanan ikan laga bertaraf antarabangsa berkata penjurian ikan laga adalah subjekif kerana dalam penjurian markah ditentukan berdasarkan pelbagai kriteria, antaranya warna, bentuk tulang ikan, sirip dan keunikan sifat.

Beliau berkata dengan adanya MBS nanti ianya dapat dijadikan sebagai rujukan bukan hanya untuk pertandingan tetapi juga sebagai rujukan penternak ikan laga tempatan pada masa akan datang.

“Menerusi apalikasi MBS juri hanya perlu mengikut kriteria penjurian ciri-ciri yang terdapat pada ikan yang mengambil bahagian dalam sesuatu kejohanan,” katanya.

Beliau berkata kekangan yang dihadapi oleh persatuan pada ketika ini ialah tidak mempunyai kepakaran IT bagi membina perisian MBS yang boleh diguna sebagai aplikasi dan dimuat turun dalam telefon pintar.

 

Disunting oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan