AM

Lembah Mansuli di Lahad Datu berpotensi jadi tapak pelancongan arkeologi

21/11/2018 10:35 PM

LAHAD DATU, 21 Nov (Bernama) -- Lembah Mansuli yang terletak 30 kilometer dari bandar Lahad Datu berpotensi dijadikan sebagai  tapak pelancongan arkeologi, kata Prof Madya (Pelancongan) dari Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul.

Katanya, penemuan arkeologi serta ciri eksotik di lembah itu sesuai dipromosikan sebagai produk pelancongan iaitu melawat ke tempat kuno dan bersejarah.

"Lembah Mansuli mempunyai dua tapak arkeologi iaitu tapak ekskavasi Mansuli serta Gua Samang Buat.

Manakala setiap tapak ekskavasi ini ada penemuan yang membuktikan Lembah Mansuli telah didiami seawal 235,000 hingga 11,000 tahun yang lalu dan sekali gus menjadikan lembah ini adalah tertua dalam prasejarah Borneo," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Awangku Hassanal yang juga pengasas bersama Sabah Sustainability Volunsharing Program (SSVP) itu berkata kunjungan ke tapak arkeologi membolehkan pengunjung dapat meneroka gua di samping mempelajari warisan Borneo termasuk memulihara tapak ekskavasi Lembah Mansuli.

Di bawah SSVP, beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) Sabah dengan kerjasama fakultinya telah meneroka potensi Lembah Mansuli sebagai tapak pelancongan arkeologi.

Sementara itu, Pengarah MOTAC Sabah, Ag Ahmad Zaki Abu Bakar mahu kerjasama antara pihaknya serta UMS yang terjalin sejak 2015 itu diteruskan di masa hadapan.

"Banyak yang dapat diterokai hasil kerjasama ini termasuk menerokai Ekopelancongan Tagal dan Pelancongan Gunung Berapi," katanya.

Program SSVP  menumpukan kepada penerokaan produk pelancongan baharu serta mendidik peserta menjadi pelancong yang lestari dan bertanggungjawab.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan