AM

Koleksi Batik Superheroes antara produk tempatan menarik sepanjang Buy Malaysia's First

21/11/2018 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov ( Bernama) -- Koleksi  “Batik Superheroes” merupakan  antara 300 produk tempatan menarik sepanjang tempoh kempen “Buy Malaysia's First” (Belilah Buatan Malaysia@BBM) yang dilancarkan hari ini.

Presiden Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya (GMB), Agil Faisal Ahmad Fadzil berkata koleksi pakaian batik lukisan tangan keluaran Bujins Batik itu mempunyai keunikan tersendiri dan berpotensi di promosikan sebagai antara jenama terbaik Malaysia.

"Kempen BBM merupakan kempen jangka panjang bermula November tahun ini sehingga Disember 2020. Ia sebagai inisiatif membantu usahawan tempatan memasarkan produk dan perkhidmatan mereka.

"Selain menggalakkan pengguna memilih dan membeli produk tempatan, kempen ini juga bagi menambah visibiliti produk jenama Malaysia serta merangsang pertumbuhan ekonomi domestik," katanya selepas perasmian BBM oleh Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad di Stesen Transit Aliran Massa (MRT), Pasar Seni di sini, hari ini.

Agil Faisal berkata BBM juga merangkumi pelbagai program keusahawanan seperti karnival, 'sales hunt', fun run di sepuluh lokasi utama MRT seperti Bukit Bintang dan Damansara yang strategik serta mempunyai aliran trafik yang tinggi.

Beliau berkata, selain itu,  terdapat banyak lagi produk dan perkhidmatan jenama Malaysia yang akan dipasarkan menerusi Malaysia Brand Outlet antaranya coklat, kraftangan serta produk usahawan perusahan kecil dan sederhana (PKS) yang setaraf dengan piawaian antarabangsa.

"Kita berusaha untuk mencapai sasaran berikut menjelang 2020 melalui BBM yang menggabungkan 10,000 pemasaran dalam talian dan di luar talian serta 1,000 kedai sementara di masjid-masjid terpilih di seluruh negara.

"Kejayaan inisiatif ini dijangka menambahkan lagi nilai positif ekonomi dan mewujudkan  3,600 peluang pekerjaan dan perniagaan," katanya.

BBM merupakan projek perintis dengan kerjasama MRT Corp Sdn Bhd termasuk beberapa syarikat tempatan yang lain.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan