KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membuat operasi secara besar-besaran terhadap 41,503 premis komersial dan kediaman yang mempunyai tunggakan cukai taksiran berjumlah RM182.7 juta di seluruh ibu kota bermula minggu depan.
Pengarah Jabatan Kewangan DBKL Mohamad Hamim berkata operasi itu meliputi penyampaian notis tunggakan cukai taksiran dan mengadakan rundingan dengan pemegang akaun, terutamanya melibatkan jumlah tunggakan yang tinggi.
"Kami memberi notis terdahulu dan memberi masa selama dua minggu untuk mereka menjelaskan bayaran menerusi operasi yang akan dilakukan oleh kira-kira 700 pegawai penguat kuasa di sekitar Kuala Lumpur.
"Penyitaan akan dilakukan terhadap premis komersial sekiranya mereka gagal melaksanakan bayaran dalam jangka masa yang ditetapkan mengikut Seksyen 148, Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya kepada pemberita selepas Ops Sita Cukai Taksiran DBKL di sini, hari ini.
Bagi premis kosong dan tiada harta mudah alih, tindakan mahkamah akan dikenakan sehingga premis yang bertunggakan tersebut ditahan dan dilelong selaras dengan Seksyen 151, Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Mohamad berkata sebanyak 25 premis perniagaan membabitkan tunggakan cukai taksiran berjumlah RM1.6 juta telah disita menerusi operasi yang dijalankan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, hari ini.
"Bagi premis yang mempunyai jumlah tunggakan besar, kami tetap menyita sebahagian daripada barangan di premis. Mereka juga dikehendaki membayar 30 peratus daripada jumlah tertunggak, serta diberi masa seminggu untuk datang ke ibu pejabat melangsaikan baki 70 peratus bayaran itu.
"Jika mereka gagal berbuat demikian, baki barangan perniagaan premis mereka akan disita," katanya.
Secara keseluruhan sebanyak 210 juta premis komersial di seluruh ibu kota membabitkan jumlah tunggakan sebanyak RM384 juta akan disita menerusi operasi besar-besaran pada hari ini.
"Mereka telah diberi notis tunggakan sejak September lalu sebagai peringatan untuk menjelaskan bayaran namun mereka gagal berbuat demikian...Kami terpaksa menjalankan sitaan ke atas premis mereka kerana masih belum menerima bayaran penuh tunggakan cukai taksiran," katanya.
Operasi ini akan dijalankan secara berterusan sehingga Disember ini.
"Warga kota dinasihatkan supaya menjelaskan tunggakan cukai taksiran dengan segera bagi mengelak sebarang tindakan penguatkuasaan terhadap mereka," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial