AM

PAKAR Paroi dijenamakan semula sebagai MyAgroNiaga

10/11/2018 03:57 PM

SEREMBAN, 10 Nov (Bernama) – Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR) di Paroi dijenamakan semula sebagai MyAgroNiaga atau Pasar Tani Kekal Paroi, yang berfungsi sebagai platform bagi usahawan tempatan agromakanan memasarkan produk mereka terus kepada pengguna tanpa penglibatan orang tengah.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir berkata penjenamaan semula itu juga akan dapat membantu peniaga memgembangkan perusahaan mereka dalam meningkatkan jaringan pasaran melalui penerokaan ruang pasaran yang baru bagi jualan bahan segar, bersih dan selamat pada kos harga berpatutan.

“Barang jualan di sini ditawarkan pada harga lima hingga 20 peratus lebih murah dari harga pasaran tempatan.

“MyAgroNiaga mengumpulkan 57 usahawan tani termasuk pengusaha medan selera, beroperasi setiap hari Sabtu dari 7 pagi hingga 3 petang. Bagaimanapun, kekerapan masa operasi akan ditingkatkan bergantung kepada sambutan yang diterima dari masyarakat,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran dan Pelaksanaan Program MyAgroNiaga di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Ishak Ismail dan Pengarah FAMA Negeri Sembilan Muslim Manja.

Bakri berkata antara produk jualan di MyAgroNiaga adalah hasil pertanian, barangan runcit, Industri asas tani, nurseri, medan selera dan barangan kawalan.

Selain itu, beliau berharap dengan adanya pusat perniagaan hasil tani yang setempat seperti MyAgroNiaga ini, golongan belia akan dapat menjadikan bidang pertanian sebagai kerjaya pilihan.

“Seperti yang disarankan kerajaan, pertanian seharusnya dijadikan sebagai kerjaya utama terutamanya bagi golongan belia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan