AM

Pemuda cacat penglihatan terima Anugerah Khas Konvokesyen UTM

10/11/2018 08:29 AM

KULAI, 9 Nov (Bernama) -- Berpegang pada prinsip “percaya kemampuan diri”, seorang pemuda yang buta sebelah mata bukan sahaja berjaya menggenggam ijazah Sarjana Muda Sains Komputer tetapi juga menerima anugerah khas bersempena konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.

Mohd Naim Mohd Hassan, 34 yang cacat penglihatan akibat kemalangan jalan raya pada usia 10 tahun menerima Anugerah Khas Kategori Kelainan Upaya selepas berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.40  pada Majlis Anugerah Dekan dan Hadiah SPACE Program Pengajian Separuh Masa.

"Saya bersyukur setelah empat tahun setengah saya dapat menamatkan pelajaran dengan jayanya.

"Ini bukan penghalang bagi saya (buta sebelah mata) , selagi seseorang itu percaya dia mampu, dia dapat capai kejayaan walau apapun keadaan jangan putus asa," kata juruteknik kelahiran Pulau Pinang itu.

Terdahulu, majlis anugerah berkenaan dirasmikan oleh Dekan UTMSPACE Prof Dr Othman Che Puan bagi meraikan 49 graduan separuh masa terbabit.

Sementara itu, bagi adik beradik, Nur Rashidah dan Nur Hamizah Mohamad Thamrin, masing-masing berusia 32 dan 30 tahun, gembira kerana dapat menamatkan pengajian bersama.

Kedua-duanya yang bekerja sebagai penjawat awam menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Sumber Manusia

"Kami teruja kerana dapat raikan hari bersejarah  ini bersama-sama walaupun banyak kekangan untuk menghabiskan pengajian selama hampir tujuh tahun menunjukkan bahawa tidak terlambat untuk kita mengejar kejayaan," kata Nur Rashidah.

Sementara itu, Muhammad Hafiz Kamaruzaman, 25 menerima Anugerah Graduan Cemerlang atas pencapaiannya memperoleh PNGK 3.89 bagi program Sarjana Muda Sains Komputer.

Anak muda itu turut berkongsi tip untuk mencipta kejayaan iaitu tidak terlalu memaksa diri dan perlu pandai mengatur masa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan