KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Penyatuan data antara pelbagai agensi adalah perlu bagi memastikan bantuan kewangan kerajaan kepada usahawan dapat diterima oleh segmen kumpulan sasaran terutamanya golongan B40 seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2019.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) Muhd Firdaus Azharuddin berkata, kurangnya usaha bersepadu agensi kerajaan sebelum ini menyebabkan berlaku pertindihan peranan untuk mengagihkan bantuan kewangan.
“Data sedia tidak tersusun dan bertindih. Kami gembira dengan kewujudan semula Kementerian Pembangunan Usahawan, namun kami memerlukan masa untuk menyatukannya.
"Di bawah kepimpinan kerajaan baharu, kami mampu mewujudkan semula lebih banyak strategi untuk memastikan bantuan kewangan akan sampai kepada kumpulan sasaran, khususnya B40,” katanya kepada pemberita pada Sidang Kemuncak Pemasaran Global 2018, di sini, hari ini.
Menurut Muhd Firdaus, inisiatif dan peruntukan yang dicadangkan dalam Belanjawan 2019 membuktikan visi kerajaan adalah jelas untuk merangsang ekonomi keusahawanan.
Ini termasuk peruntukan RM200 juta kepada Perbadanan Usahawan Nasional Bhd dan RM100 juta bagi Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Kebangsaan untuk mempromosikan revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).
Kerajaan turut mencadangkan peruntukan RM2 bilion masing-masing kepada Skim Pembiayaan Teknologi Hijau dan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan bagi memodenkan skim-skim tersebut.
Mengenai INSKEN, Muhd Firdaus berkata institusi itu yang sebelum ini menumpukan kepada latihan akan turut memperkukuh program pementoran untuk mendidik lebih ramai usahawan.
“Kami telah membangunkan banyak program mentor dan menganjurkan persidangan yang berkesan seperti Sidang Kemuncak Pemasaran Global 2018 yang menghimpunkan usahawan yang berjaya dan berpengaruh untuk berkongsi pengalaman mereka,” katanya.
Muhd Firdaus berkata institusi tersebut menerima peruntukan tahunan antara RM15 juta dan RM20 juta daripada kerajaan untuk menganjurkan programnya.
Sejak 2015, INSKEN telah melatih 28,330 usahawan melalui sebanyak 1,109 program latihan pembangunan yang dilaksanakan di seluruh negara.
“Menjelang akhir 2017, 325 daripada 500 syarikat yang mengikuti program latihan kami telah meningkatkan pendapatan mereka sebanyak 10 peratus, suatu pencapaian yang mendorong agensi kami untuk terus mewujudkan ekosistem keusahawanan yang teguh di Malaysia,” katanya.
Bertemakan ‘Making that Sale’, Sidang Kemuncak Pemasaran Global 2018 itu menerima sambutan menggalakkan daripada usahawan termasuk jenama terkemuka seperti Neelofa, Ramly Group dan Siti Khadijah Apparels.
Program itu bertujuan membangunkan penggerak yang berpengetahuan tinggi, berdaya tahan dan berkemampuan dalam industri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial