KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) — Lebih 800 peniaga dan penduduk Selayang berkumpul di hadapan Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyerahkan memorandum bantahan lokasi pembinaan pusat penyembelihan ayam di sekitar Pasar Borong Harian Selayang.
Setiausaha Persatuan Gabungan Persatuan Penduduk Taman Wilayah, Abdul Aziz Mohd Alias berkata lokasi projek itu tidak sesuai kerana terletak berhampiran dengan kawasan perumahan.
“Kami tidak membantah projek pembinaan pusat sembelih ayam, cuma kami mahu ia dibina di luar kawasan perumahan dan Pasar Borong Harian Selayang kerana akan menimbulkan kesesakan lalu lintas.
“Selain itu, bau busuk dan masalah takungan air akan berlaku kerana kami difahamkan semua gerai penyembelihan ayam sekitar Selayang akan berkumpul di sini," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan itu kepada Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Pembangunan DBKL, Azmi Abdul Hamid di Menara DBKL.
Seorang penduduk, Ho Ah Chai, 72, berkata perkara ini sudah berlarutan sejak tahun 2012 lagi apabila DBKL tidak mengendahkan aduan penduduk mengenai bantahan lokasi itu.
“Kami telah pergi ke Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, mendapatkan bantuan daripada wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) namun jawapan yang diberikan sangat mengecewakan.
“Mereka tetap mahu meneruskan projek itu dan baru-baru ini dihentikan buat sementara waktu kerana kami membuat bantahan terhadapnya,” katanya.
Anggota Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen berkata pihaknya sedia berbincang dengan DBKL dan kerajaan negeri Selangor berhubung dengan cadangan lokasi yang lebih sesuai untuk projek itu.
“Kami telah mengenal pasti lokasi sesuai untuk pembinaan pusat penyembelihan ayam itu iaitu di pinggir bandar sekitar Selayang kerana kawasan itu lebih luas.
“Selain itu, pusat penyembelihan ayam tidak boleh dibina 500 meter daripada kawasan perumahan atas faktor kebersihan dan kami berharap dapat berbincang dengan pihak pemaju serta pihak berkuasa tempatan yang terlibat,” katanya.
Sementara itu, Azmi berkata pihaknya sedia maklum akan perkara ini dan akan meneliti terlebih dahulu terhadap memorandum itu sebelum dibawa ke mesyuarat untuk dibincangkan.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial