KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mencadangkan satu peruntukan dalam Bajet 2019 bagi mewujudkan program penilaian kesediaan untuk membantu merangsang pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.
Timbalan Menteri, Ong Kian Ming berkata, program pengumpulan data tersebut, yang melibatkan 5,000 syarikat, akan menilai sejauh mana mereka telah mencapai transformasi Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR) dan apa yang perlu mereka lakukan pada masa depan.
"Sebaik sahaja bajet itu diluluskan, kami berharap dapat melancarkannya (program itu) supaya asas kajian ini dapat digunakan untuk mencari jalan untuk memperbaikinya," katanya di Dialog Program Penyelesaian SMX oleh Steinbeis Malaysia Foundation di sini, hari ini.
Ong berkata, pada masa ini, kurang daripada 10 peratus daripada PKS Malaysia berada di peringkat 4IR.
Menurutnya, banyak PKS masih ketinggalan dan selesa berada dalam tahap Industri 2.0 dan 3.0, terutama disebabkan sikap tunggu dan lihat dan kurangnya kesedaran mengenai perubahan yang berlaku di pasaran global.
"Saya bimbang jika mereka tidak mengetahui mengenai beberapa trend global yang sedang berlaku, mereka akan dipintas oleh mereka yang telah dinaik taraf, dan sebelum mereka sedari (perubahan), mereka (telah) kehilangan pelanggan dan kelebihan daya saing ," katanya.
Ong percaya Dasar Kebangsaan Industri 4.0 yang baru dilancarkan pada awal hari ini akan membantu menggalakkan PKS meningkatkan prestasi mereka agar perniagaan mereka setanding dengan trend semasa.
Kerajaan telah menyasarkan untuk meningkatkan sumbangan PKS kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara kepada 41 peratus menjelang 2020.
Pada 2017, PKS menyumbang RM435.1 bilion kepada ekonomi Malaysia dengan pertumbuhan KDNK sebenar sebanyak 7.2 peratus berbanding 5.2 peratus pada 2016.
Berikutan itu, sumbangan PKS kepada KDNK Malaysia meningkat kepada 37.1 peratus tahun lepas berbanding 36.6 peratus pada 2016.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial