AM

Jambatan runtuh di Kota Tinggi sebahagian projek jalan dari sempadan RAPID

28/10/2018 08:26 PM

JOHOR BAHRU, 28 Okt (Bernama) -- Jambatan runtuh mengorbankan seorang pekerja warga Bangladesh di Kota Tinggi, hari ini, adalah sebahagian projek membina jalan raya dari sempadan tapak Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Petronas ke sebuah jalan persekutuan.

Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang, Bukhari Abd Rahman berkata projek bermula sejak 1 Ogos 2016 dan dijangka siap pada Februari depan itu, di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR), Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

Beliau berkata berikutan kejadian itu berlaku dalam kawasan Pengerang, pihaknya bersedia bekerjasama dengan semua pihak berkaitan untuk mendapatkan maklum balas tepat mengenai insiden berkenaan.

"Saya berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu tersebut tanpa sebarang usul periksa sepanjang siasatan dijalankan. Maklum balas rasmi berhubung kejadian tersebut akan dikemas kini dan dikeluarkan pihak JKR dan bomba,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Kejadian kira-kira 9 pagi tadi itu, menyebabkan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 42 tahun yang sedang  membina jambatan berkenaan maut.

Insiden berlaku ketika mangsa melakukan kerja-kerja pembinaan bersama rakan lain, bagaimanapun, hanya dia seorang yang jatuh bersama jambatan itu manakala rakannya lain tidak terjejas.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Azlan Mohd Sobberi ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya menghantar lapan anggota ke tempat kejadian sebaik menerima laporan pada 9.44 pagi.

Beliau berkata pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa dari tempat runtuhan dan mayat lelaki terbabit diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Punca runtuhan setakat ini masih disiasat pelbagai pihak termasuk JKR dan PBT Pengerang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan