IPOH, 23 Okt (Bernama) – Tujuh puluh enam pelajar pendidikan khas mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) hari ini menerusi penghasilan kek terpanjang sempena Karnival Kemahiran Pendidikan Khas Kebangsaan 2018 di sini.
Pelajar berumur 13 hingga 17 tahun berkenaan mencatat rekod tersebut dengan menghias kek sepanjang 50.2 meter itu berbentuk bendera negeri Perak.
Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas Jabatan Pendidikan negeri (JPN) merangkap Naib Pengerusi Pengelola Karnival, Aznan Alias berkata projek itu dilakukan bagi mengetengahkan bakat pelajar pendidikan khas.
"Sebenarnya mencipta rekod dalam MBOR adalah aktiviti di peringkat JPN, dan kita telah lakukan sejak 2011. Oleh kerana karnival kali ini Perak menjadi tuan rumah, ia lakukan bersama pelajar-pelajar setiap negeri.
"Perkara ini salah satu cara mengetengahkan bakat pelajar pendidikan khas supaya masyarakat luar dapat ketahui bahawa sekiranya diberi kepercayaan mereka juga mampu lakukan setanding pelajar normal,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian penutup Karnival Kemahiran Pendidikan Khas Kebangsaan 2018 di sini, malam ini.
Hadir bagi merasmikan majlis penutup itu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri Dr Abdul Aziz Bari.
Dalam pada itu, Abdul Aziz menyeru agar semua pihak dapat tampil memberi sokongan terhadap program seumpama tersebut.
"Karnival seperti ini boleh menjadi platform untuk mencungkil bakat-bakat yang tidak disangka-sangka dalam kalangan anak-anak istimewa ini dan kita tidak lagi boleh mengukur kejayaan hanya berdasarkan akademik sebaliknya perkara lain perlu diambil kira.
"Justeru saya harap apabila ada program seumpama ini semua pihak perlu tampil berikan sokongan," katanya.
Karnival bertemakan 'Kemahiran Lestari Seni Budaya' itu berlangsung selama tiga hari dua malam, dan disertai 288 pelajar dan 28 guru pengiring dari 16 kontinjen negeri seluruh Malaysia.
Pada karnival itu, 11 kemahiran dipertandingkan antaranya seni tekat dan solekan puteri diraja bagi menguji kecekapan serta penguasaan pelajar pendidikan khas dalam pelbagai bidang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial