AM

Pupuk nilai murni cintai alam sekitar terhadap pelajar sekolah

21/10/2018 04:27 PM

PORT DICKSON, 21 Okt (Bernama) -- Pendidikan awal penjagaan alam sekitar sejak di bangku sekolah harus disemai dalam kalangan pelajar agar keindahan alam semula jadi dapat dinikmati generasi akan datang, kata Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Isnaraissah Munirah Majilis.

Beliau berkata bagi merealisasikan hasrat tersebut, setiap lapisan masyarakat harus memainkan peranan penting dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk menjalankan aktiviti serta mendidik generasi muda selain dapat bersama-sama menjaga dan memulihara alam sekitar.

"Menjaga alam sekitar ini bukanlah menjadi tugas kerajaan semata-mata tetapi menjadi tanggungjawab kita semua secara bersama.

"Bak kata peribahasa 'melentur buluh biarlah dari rebungnya' begitulah juga dalam usaha memulihara alam sekitar, kita perlu bermula lebih awal iaitu di rumah dan di peringkat sekolah," katanya ketika berucap selepas merasmikan majlis penutup Pertandingan Pidato Alam Sekitar Peringkat Kebangsaan 2018 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan golongan pelajar untuk menyertai program Rakan Alam Sekitar yang merupakan inisiatif Jabatan Alam Sekitar dalam meningkatkan kesedaran dan menggerakkan anggota masyarakat dalam aktiviti pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.

"Dengan menjadi ahli Rakan Alam Sekitar, pelajar akan menjadi mata dan telinga untuk membantu melaporkan kejadian pencemaran kepada agensi-agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam membanteras kegiatan yang merosakkan atau mencemarkan alam sekitar," katanya.

Pertandingan akhir pidato alam sekitar peringkat kebangsaan itu disertai 20 pelajar sekolah dari seluruh negeri dengan dua kategori dipertandingkan iaitu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Pada pertandingan tersebut kategori Bahasa Malaysia dimenangi oleh Ayuni Hazirah Daniel Liting dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sarikei Baru, Sarawak manakala kategori Bahasa Inggeris dirangkul Yasmeen Haniff Mirza dari Sekolah Menengah Kebangsaan Damansara Jaya, Selangor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan