BAU, 19 Okt (Bernama) – Pembinaan Pusat Warisan Bung Bratak (BBHC) di puncak Bung Bratak (Gunung Bratak) di sini, oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), kini hampir siap sepenuhnya.
Pengerusi Persatuan Warisan Bung Bratak (BBHA) Datuk Dr Peter Minos mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg atas budi baik beliau memberi geran kerajaan sebanyak RM500,000 bagi membeli perabot serta kelengkapan lain bagi pusat itu.
“BBHA amat terkejut dan gembira apabila ketua menteri memberi kelulusan dengan begitu cepat, sekali gus membuktikan beliau amat berminat tentang sejarah dan ekopelancongan melibatkan masyarakat Bidayuh.
"Apa lagi yang boleh saya katakan selain "terima kasih banyak-banyak Tuan" kerana tanpa pemberian RM500,000 daripada ketua menteri itu, tiada cara bagi persatuan kami mengumpul wang sebanyak itu,” kata Minos.
Beliau berkata pembinaan BBHC berharga RM8 juta itu dibiayai sepenuhnya kerajaan persekutuan, manakala JKR Sarawak membantu membina jalan pergunungan melibatkan kos lebih RM500,000 dan Pejabat Daerah Bau, Majlis Daerah Bau dan Anggota Parlimen Mas Gading Datuk Anthony Nogeh Gumbek pula membantu membina lot letak kenderaan dan jalan tradisional.
“Kini, BBHC melakukan kerja sentuhan akhir dan akan dibuka kepada orang ramai menjelang Januari tahun depan, manakala ketua menteri akan dijemput merasmikan pusat ini menjelang 1 Mei bersempena sambutan Hari Bung Bratak,” kata Minos kepada Bernama di sini hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial