Oleh Hasnah Jusid
ALOR SETAR (Bernama) -- Rakyat negeri Kedah pastinya tidak sabar lagi menantikan tarikh 22 Okt untuk menyaksikan istiadat pertabalan Sultan Kedah yang ke-29, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.
Bukan sahaja tidak sabar malah teruja, kata Mohd Nazri Omar, 56, yang merupakan Penghulu Nobat Diraja Kedah, apatah lagi istiadat itu adalah yang pertama baginya. Istiadat pertabalan sultan yang terakhir sebelum ini berlangsung 59 tahun lalu.
Beliau yang bermain serunai dalam kumpulan itu berkata, “Memang teruja sebab setelah 30 tahun bekerja, ini kali pertama dapat tengok istiadat pertabalan Sultan Kedah.
“Dulu tengok dalam sejarah saja, sekarang bukan sahaja dapat tengok malah turut terlibat dalam adat istiadat itu, gembira tak tau nak habaq,” katanya dalam loghat Kedah kepada Bernama, mengenai kegembiraannya yang tidak terkata.
Beliau yang ditemui di Balai Nobat di sini baru-baru ini memberitahu bahawa kumpulannya terdiri daripada 14 anggota dan sudah biasa memainkan nobat pada pelbagai istiadat rasmi diraja seperti pemahsyuran Sultan Kedah, kemangkatan Sultan, serta pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Almarhum) pada 2012.
Bagaimanapun kata Mohd Nazri, tugasan untuk memainkan nobat pada istiadat pertabalan Sultan Kedah kali ini adalah amat berbeza daripada istiadat-istiadat lain. Ini kerana kesemua anggota kumpulan itu tidak pernah menyaksikan mahupun terlibat dalam istiadat pertabalan seumpama itu memandangkan kali terakhir ia berlangsung lebih lima puluh tahun lalu.
PENTING UNTUK ISTIADAT
Kumpulan Nobat Diraja Kedah yang kini berusia lebih 400 tahun itu dikatakan antara yang tertua di negara ini.
Nobat adalah satu seni muzik tradisional yang diwarisi sejak berabad lalu dan merupakan elemen yang amat penting dalam setiap istiadat di istana.
Tesis oleh Harun Mat Isa bertajuk “Nobat Diraja Kedah” (Universiti Kebangsaan Malaysia 1976/1977), menyebut bahawa nobat merupakan irama muzik tanpa suara iaitu pancaragam diraja yang dimainkan menggunakan beberapa peralatan muzik mengikut lagu tertentu.
Menurut tesis itu, nobat dimainkan ketika hari kebesaran dan upacara rasmi diraja seperti pertabalan, kemangkatan sultan, Raja Muda, putera dan puteri serta kerabat lain, perkahwinan kerabat serta menyambut pembesar yang datang ke Kedah selain dimainkan sebelum masuk waktu solat. Peralatan yang digunakan ketika bermain nobat adalah nahara (dua buah gendang kecil), gendang ibu dan gendang anak yang berukuran sederhana, nafiri (trumpet perak berukuran 83.8 sm panjang), sebuah gong serta semambu iaitu Cokmar Diraja yang akan dipegang oleh Penghulu.
Jika dirujuk pada buku cenderamata pada tahun 1959 bertajuk ‘Installation of His Highness Sultan Abdul Halim Mu’azzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Of Kedah Darulaman’, sebaik sahaja Sultan dan Sultanah Kedah berangkat masuk ke Balai Besar pada 9.30 pagi, nobat memainkan ‘Lagu Raja Berangkat’.
LAGU GENDERANG PERANG
Peranan penting kumpulan Nobat Diraja Kedah dalam istiadat pertabalan ketika itu turut dapat dilihat setelah Sultan Kedah menerima keris kebesaran negeri daripada ketua istiadat yang melaungkan ‘Daulat Tuanku’, dan sejurus selepas itu nobat memainkan Lagu Raja Bertabal dan ‘Genderang Perang’.
Lagu Genderang Perang atau biasanya disebut Lagu Perang berdurasi 2 minit 16 saat merupakan lagu paling utama yang dimainkan ketika istiadat besar dan penting seperti pertabalan raja dan istiadat Siram Tabal.
Lagu nobat yang dimainkan selalunya memberikan perasaan berbeza kepada pendengarnya.
Merujuk tesis Nobat Diraja Kedah itu, dikatakan bahawa muzik nobat adalah “bergaya” dan ada rahsianya tersendiri, lagu menggerunkan hati serta mempesonakan.
“Lagu Perang amat istimewa kerana sangat simbolik dengan kekebalan Sultan Kedah,” jelas Mohd Nazri ketika ditemui di Balai Nobat - tempat penyimpanan peralatan nobat - di sini.
Bercerita lanjut, beliau berkata kesemua anggota kumpulan akan memainkan peralatan masing-masing tanpa merujuk kepada sebarang nota lagu, sebaliknya hanya berpandukan tiupan serunai untuk mengetahui tindakan seterusnya.
Kumpulan nobat akan memainkan Lagu Perang pada acara utama iaitu Istiadat Pertabalan Sultan Kedah di Balairung Seri pada 22 Oktober, manakala beberapa lagu ragam seperti Lagu Gendang Anak dan Lagu Lumat pada Istiadat Siram Tabal.
Pakaian rasmi bagi anggota kumpulan itu adalah baju Melayu, baju Sikap berwarna hitam, tengkolok serta bengkung.
Beberapa bulan sebelum istiadat berlangsung, kumpulan itu kerap menjalani latihan dan memastikan setiap peralatan yang digunakan nanti berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan sebarang kecacatan sewaktu istiadat berlangsung.
WARISAN TURUN TEMURUN
Pemain serunai, Amizul Abdul Rahman, 38, juga mengakui amat teruja dan tidak menjangka akan terlibat dalam istiadat yang bersejarah itu.
Beliau yang mewarisi permainan muzik itu daripada ayahnya (sudah meninggal dunia) yang juga pemain nobat berkata, “Memang teruja sebab bermain nobat untuk Sultan Kedah, ada perasaan gemuruh tapi cuba ketepikan demi tugas.
“Perasaan macam itu sudah sebati. Kuncinya adalah latihan yang cukup bagi memastikan kita tidak hadapi masalah. Kami berlatih hampir setiap hari terutamanya menjelang hari pertabalan,” katanya.
Beliau yang pada awalnya tidak berminat mewarisi pekerjaan arwah ayahnya itu kini sudah bermain serunai selama tujuh tahun.
“Disebabkan sudah termaktub dalam peraturan bahawa jawatan dalam nobat hendaklah mengikut keturunan, atas rasa tanggungjawab saya berusaha mempelajari seni nobat sehingga mahir.
“Saya ambil masa kira-kira setahun untuk mahir dalam bermain serunai termasuk lagu-lagu yang perlu diingati. Saya belajar di sini (Balai Nobat) dan berlatih bila ada ruang masa,” katanya yang turut belajar bermain serunai daripada Mohd Nazri.
Difahamkan jawatan dalam Nobat Diraja Kedah tidak boleh disandang oleh orang luar, selain keluarga pemain nobat. Oleh itu sekiranya seseorang pemain nobat meninggal dunia, tempatnya akan diganti oleh anaknya atau dari kalangan keluarganya.
Disunting oleh Sarimah Othman
BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial