SANDAKAN, 9 Okt (Bernama) -- Waris mereka yang tak solven (mereka yang tidak mampu bayar) digesa tampil dan mengemas kini maklumat tak solven yang telah meninggal dunia di Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata pada masa ini bilangan tidak mampu bayar yang meninggal dunia adalah angka terbesar tak solven dalam statistik Mdl.
“Adalah sukar untuk kami mengesan mereka ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Liew, setakat ini sebanyak 1,850 kes bankrap dilaporkan di daerah ini dan kira-kira 6,000 kes di Tawau dengan keseluruhan 40,000 kes muflis dilaporkan di pelbagai daerah di kota Kinabalu.
Katanya kes muflis tertinggi melibatkan penjamin pinjaman serta mereka yang gagal melunaskan pinjaman sewa beli kenderaan.
“Ini diikuti oleh mereka yang gagal menyelesaikan pinjaman perumahan, pinjaman pengajian, cukai pendapatan serta pinjaman peribadi,” katanya.
Katanya stastitik juga menunjukkan kebanyakan mereka yang diisytiharkan muflis adalah kerana mereka tidak memindahkan hak milik kenderaan kepada pemilik baharu yang gagal membuat bayaran bulanan.
Beliau berkata seseorang yang muflis tidak dibenarkan bertanding pada pilihan raya selain mungkin tidak boleh membuka akaun bank atau memohon pinjaman di samping tidak boleh menjadi sebahagian daripada barisan pengurusan agensi kerajaan atau swasta.
Liew turut menggesa mereka yang diisytiharkan bankrap datang ke pejabat Mdl terdekat bagi menguruskan aset mereka.
Bagaimanapun katanya kerajaan mengecualikan mereka yang menjadi penjamin pinjaman sosial, orang kelainan upaya serta mereka yang menghidap penyakit kronik daripada diisytiharkan muflis.
“Individu-individu ini boleh tampil ke Mdl agar ia (Mdl) boleh merayu di mahkamah dan membebaskan mereka daripada status muflis,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial