PUTRAJAYA, 6 Okt (Bernama) – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) pada 1 Okt telah mengeluarkan sebanyak 262 kertas undi pos bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.132 Port Dickson, Negeri Sembilan.
Dalam kenyataan hari ini, Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata pengeluaran kertas undi pos tersebut dijalankan oleh Petugas Pilihan Raya di Ruang Legar Aras 7, Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson.
Katanya kertas undi pos tersebut meliputi kategori Pemilih Tidak Hadir (PTH) Luar Negara (penjawat awam yang bertugas di luar negara dan pasangannya; pelajar sepenuh masa dan pasangannya) seramai 16 orang pengundi seperti di United Kingdom, Australia, Amerika Syarikat, Ireland, Jordan, Taiwan, Jerman dan Korea Selatan.
Selain itu, katanya kertas undi pos itu juga termasuk permohonan Borang 1A seramai 243 orang pengundi yang masing-masing meliputi 166 orang (petugas pilihan raya), 23 orang (anggota polis) dan 54 orang (anggota tentera) dan permohonan Borang 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) seramai tiga orang iaitu pengundi daripada Australia.
“Manakala tiada pengeluaran bagi kategori Borang 1C (anggota petugas kesihatan dan keselamatan yang dibenarkan) kerana tiada permohonan diterima," katanya.
Azhar Azizan berkata proses pengeluaran kertas undi pos ini dijalankan dengan kehadiran wakil-wakil calon daripada Pakatan Harapan (PH), PAS dan wakil calon Bebas.
“SPR juga telah menjemput pemerhati-pemerhati pilihan raya yang dilantik untuk menyaksikan proses pengeluaran kertas undi pos itu, bagaimanapun tiada pemerhati yang hadir ke sesi tersebut," katanya.
Jelasnya kertas undi di bawah kategori PTH dan 1B telah diserahkan kepada pihak Pos Malaysia manakala di bawah 1A diuruskan oleh pegawai bertanggungjawab masing-masing.
“Semua penghantaran dibuat kepada pengundi-pengundi terbabit pada hari yang sama iaitu pada 1 Oktober,” katanya.
SPR mengingatkan kepada pengundi pos terbabit agar menanda kertas undi yang diterima dengan betul dan segera mengembalikannya semula kepada Pegawai Pengurus PRK Parlimen P.132 Port Dickson sebelum jam 5 petang pada Hari Mengundi iaitu pada 13 Okt, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial