MELAKA, 6 Okt (Bernama) -- Kira-kira 60 lukisan catan dan tiga arca hasil karya Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dipamerkan di Galeri Seni Rakyat, Jalan Laksamana di sini, sehingga 30 Nov ini.
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata Pameran Solo bertemakan ‘Artist-Potraits and Images’ itu bermula sejak 11 Mei lepas sempena Sambutan Hari Jadi Ke-80 Mohd Khalil pada 12 Okt ini.
“Kesibukan sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka, tidak mengehadkan bakat semulajadi Mohd Khalil untuk terus berkarya sekali gus memartabatkan seni, warisan dan budaya di negeri ini,” katanya ketika berucap merasmikan pameran di galeri berkenaan, hari ini.
“Pameran ini sebagai penghargaan Kerajaan Negeri terhadap pembabitan dan peranan serta sumbangan idea beliau yang begitu besar terhadap dunia seni visual di Melaka, sejak lebih sedekad di bawah naungan beliau,” tambahnya.
Selain Mohd Khalil, turut hadir pada majlis itu ialah isterinya, Toh Puan Zurina Kassim, Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof, barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka dan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Khamis Abas.
Lukisan catan yang dihasilkan Mohd Khalil menggunakan cat minyak, akrilik atau cat air getah asli mesra alam, manakala arca dihasilkannya menggunakan kayu dengan teknik ukiran, potongan gergaji dan pahatan.
Galeri Seni Rakyat dibuka secara percuma kepada orang ramai bermula 9.00 pagi sehingga 5.00 petang, dari Selasa hingga Ahad dan ditutup setiap Isnin.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial