KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Terdapat keperluan untuk menjalankan projek kenderaan nasional ketiga seiring dengan industri automotif yang berkembang pesat, kata Institut Automotif Negara (MAI).
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Madani Sahari melihat projek kereta nasional ketiga ini datang pada masa yang tepat untuk melengkapkan industri automotif dengan mobiliti terhubung yang selaras dengan Revolusi Industri 4.0.
"Teknologi yang berkaitan dengan IT dan elektronik akan berkembang dengan pesat untuk menyediakan kenderaan yang sebegitu. Itu salah satu cabang penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dapat dimajukan sekiranya kita ada kereta nasional.
"R&D yang kita buat sudah bagus tetapi kita perlu ke hadapan untuk membuat R&D dalam bidang mobiliti terhubung," katanya di dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel mengenai kereta nasional ketiga malam tadi.
Turut hadir adalah Pensyarah Kanan Putra Business School, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.
Madani menolak persepsi yang cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mewujudkan projek kenderaan nasional ketiga kerana beliau kecewa dengan Proton.
"Itu hanya persepsi. Hasrat untuk mewujudkan kereta nasional ketiga ini bukanlah untuk mendapat nama semata-mata tetapi ini mendapat limpahan ekonomi dari segi kejuruteraan mahupun perkhidmatan.
"Bagi saya, perkembangan industri automotif semakin besar kerana skop pembangunan sangat besar. Ada ruang mencukupi untuk kereta nasional ketiga memainkan peranan. Sudah pasti Proton dan Perodua akan memainkan peranan mereka tapi kereta nasional ketiga akan memjadi satu lagi entiti kereta nasional negara," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial