KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) — Usaha dan penat lelah selama 40 tahun dalam industri seni akhirnya membuahkan hasil buat pelakon Datuk Ahmad Tamimi Siregar Kamaruddin apabila beliau menerima Anugerah Meritorious dan Sijil Sarjana Professional dalam Industri Kreatif (Meritorious Award & Certified Professional Master in Creative Industry (Acting).
Anugerah dan pengiktirafan akademik daripada Institut Pembangunan Profesional (IPD), Universiti Terbuka Malaysia (OUM) itu dianggap pengiktirafan tertinggi pernah diterima beliau sepanjang menyelusuri perjalanan sebagai anak seni.
"Anugerah ini terlalu besar ertinya dalam hidup saya. Tidak pernah termimpi bahawa segala yang saya lalui diiktiraf setinggi ini dan segala kerjaya seni yang saya ceburi mendatangkan kepuasan yang tidak ternilai dengan wang ringgit.
"Pada sekitar 1970-an, untuk mencari seorang pekerja seni yang mempunyai kelayakan akademik sehingga peringkat ijazah terlalu sedikit malah sukar dicari. Jika ada yang berjaya melepasi pengajian dalam bidang kesenian, mereka akan dianggap hebat dan berjaya di pasaran,” jelas anak kelahiran Perak itu yang menceritakan tentang nasib sebagai anak seni satu ketika dahulu.
Beliau berkata demikian dalam sidang media disertai Pengarah dan Penerbit Filem Datuk Mohd Yusoff Md Haslam, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) Datuk Jurey Latiff Mohd Rosli, dan pelakon Mior Hashim Manap yang turut menerima pengiktirafan akademik daripada IPD-OUM di Majlis Anugerah IPD ke-14 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Anugerah berkenaan disampaikan Presiden dan Naib Canselor OUM, Prof Datuk Dr Mansor Fadzil kepada 20 penggiat seni yang menerima pengiktirafan akademik dalam pelbagai bidang seperti pelakon, pengarah, penerbit filem dan televisyen, jurugambar, jurusolek artis, sinematografi, penulis skrip, animasi dan pengurus produksi.
Majlis Pengiktirafan itu merupakan hasil kerjasama antara IPD-OUM dan Creative Content Industry Guild Malaysia (CCIG), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili pekerja industri kreatif Malaysia.
Sementara itu, Yusoff Haslam yang menerima Ijazah Doktor Falsafah Kehormat Sastera Seni dalam jurusan perfileman, berkata beliau tidak pernah berputus-asa untuk memperjuang dan memartabatkan industri seni tanah air.
"Peranan yang dimainkan oleh CCIG untuk mengangkat dan mengiktiraf penggiat seni harus kita sokong.
"Kita mahu lebih banyak penggiat muda yang profesional dalam bidang ini dan mendapat anugerah supaya masuk dalam CCIG bagi membolehkan kerajaan mengiktiraf secara menyeluruh pertubuhan ini agar dapat membangunkan dan mengiktiraf penggiat seni," katanya.
Antara lain yang menerima pengiktirafan ialah pelakon Fauziah Nawi, Othman Samsuddin @ Hafsham, dan Indra Che Muda Redzuan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial