AM

Wanita mampu berjaya dalam teknologi penyelengaraan pesawat

12/09/2018 12:20 PM

MELAKA, 12 Sept (Bernama) -- Penerima Anugerah Pingat Emas Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM), Nur Irdina Hazirah Nor Zeland, 22 nekad membuktikan wanita mampu berjaya dalam teknologi penyelenggaraan pesawat walaupun ia bidang yang didominasi kaum lelaki.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Seri Puteri itu berkata berbekalkan minat yang mendalam beliau percaya mampu melangkah lebih jauh dalam bidang tersebut apabila menerjah ke alam pekerjaan kelak.

"Meskipun pernah ditawarkan untuk menyambung pengajian di beberapa universiti tempatan, namun saya memilih bidang teknologi penyelengaraan kapal terbang di KAYM kerana minat mendalam. 

"Bidang yang didominasi oleh kaum lelaki ini menjadi pencetus semangat saya untuk memperoleh empat kali Anugerah Dekan di samping berjaya mendapat kecemerlangan yang dikecapi hari ini," katanya kepada Bernama selepas menerima ‘Diploma in Aircraft Maintenance Technology’ pada Istiadat Konvokesyen KAYM ke-16 di sini, Sabtu lepas.

Seramai 718 graduan KAYM menerima diploma dan sijil masing-masing pada majlis yang disempurnakan oleh Exco Pendidikan, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Kerajaan Negeri Melaka Noor Effendi Ahmad. Turut hadir Ketua Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi.

"Saya mengamalkan rutin ulang kaji pelajaran pada awal waktu agar tidak sukar apabila tiba musim peperiksaan untuk menelaah semua mata pelajaran sekali gus. 

"Selain itu, sokongan, dorongan dan doa daripada keluarga terutama ibu bapa turut menyumbang kepada kejayaan ini," kata Nur Irdina, anak sulung daripada dua beradik yang tinggal di Bukit Rambai di sini.

Sementara itu, penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Sekolah Teknologi Media dan Seni, Aminuddin Zulkifly, 21, berkata dia berazam meneruskan perjuangannya meskipun ada rakan-rakan sepengajian yang mengambil keputusan berhenti kerana beranggapan bidang itu terlalu sukar.

"Memang agak mencabar apabila diingat kembali, tetapi saya perlu kuat dan menunjukkan contoh terbaik kepada adik-adik selain berhasrat mengubah nasib keluarga.

"Walaupun saya tinggal seorang, namun ia tidak melemahkan saya, bahkan menjadi semangat dan motivasi kepada saya untuk mencapai kecemerlangan," katanya yang kini bertugas sebagai pereka grafik di Johor Bahru, Johor.

-- BERNAMA  

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan